Isu pinjaman tanpa cagaran kepada GHK: Lagak santai Zafrul kecewakan Anwar

Oleh ARIF ATAN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan balas Menteri Kewangan terhadap soalan yang diajukannya berkenaan pinjaman tanpa cagaran sebanyak RM2.5 bilion kepada Genting Hong Kong (GHK) sebagai tersasar daripada isu sebenar.

Jelasnya, Zafrul menyatakan bahawa pinjaman tanpa cagaran itu adalah norma dan praktik biasa dalam sektor perbankan, dan bank-bank tidak akan dihadapkan dengan kerugian

“Lagak santai dan bersahaja beliau dalam memberi pencerahan tentang isu ini amat mengecewakan tatkala kita sedia maklum bahawa badan-badan atau tabung-tabung kewangan utama negara mempunyai pertalian pelaburan yang cukup besar di dalam bank-bank tempatan di negara ini.

“Apabila bank-bank mengalami kerugian, kepentingan rakyat turut terkesan. Dalam isu pinjaman tanpa cagaran kepada GHK, kerugian yang ditanggung Maybank, CIMB dan RHB akan turut ‘ditanggung’ oleh rakyat Malaysia,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, tiga bank terbabit dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar GHK dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.51 bilion).

Sebelum ini, Zafrul membidas Anwar yang mempertikaikan bagaimana senator itu boleh membenarkan Maybank, CIMB, dan RHB memberikan pinjaman tidak bercagar kepada GHK.

Dalam jawapannya, Zafrul berkata pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam industri perbankan.

Jelasnya, institusi itu mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian berdasarkan kesanggupan mereka mengambil risiko.

Tambahnya, pinjaman tanpa cagaran kepada GHK telah diluluskan sebelum pandemik Covid- 19 melanda.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata Malaysia telah lama berselirat dengan pelbagai skandal kewangan daripada isu Bumiputera Finance hingga 1MDB dengan berbilion ringgit lesap kerana salahguna kuasa, rasuah dan ketiadaan prinsip ketelusan oleh badan-badan bertanggungjawab.

“Kebejatan secara sistemik ini tertonjol dengan nyata tatkala kedudukan kita menurut Indeks Persepsi Rasuah merudum teruk sejak dua tahun lalu. Dan ianya berlaku di bawah kemudi menterinya yang sekarang.

“Saya setuju bukan kerja Menteri Kewangan untuk menyemak atau meneliti bagaimana bank-bank sepatutnya beroperasi.

“Namun, Menteri Kewangan yang cekap pasti akan menonjolkan sikap dan nilai integriti yang tinggi dalam mengurus peruntukan dan dana, terutama di saat ini di mana jutaan rakyat Malaysia sedang berdepan dengan masalah pengangguran, keadaan ekonomi yang belum kukuh serta masalah kemiskinan.

“Tidak kurang sebilangan rakyat yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman kerana dampak hentakan wabak Covid-19 ke atas ekonomi kita,” kata Anwar.

Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menyifatkan Zafrul sebagai Menteri Kewangan telah gagal merundingkan perjanjian yang lebih baik kepada GHK.

Zafrul adalah kepala Perbankan Pelaburan semasa di Maybank apabila urusan pinjaman kepada GHK dibuat. Dia kemudiannya berkhidmat di dalam badan eksekutif di CIMB semasa pinjaman kepada GHK diservis. Dia telah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan selama hampir dua tahun.

Dia mempunyai kepakaran yang luas berhubung perjanjian itu, dan mempunyai masa yang cukup untuk melakukan pindaan yang mampu memastikan manfaat kepada pengguna-pengguna bank, tapi itu tidak berlaku.

Ringkasnya, hanya ada seorang yang mampu merundingkan perjanjian yang lebih baik kepada GHK bagi pihak rakyat Malaysia iaitu Menteri Kewangan sekarang. Ternyata beliau telah gagal.

Dalam masa sama, Anwar mengingatkan bahawa masalah muflis yang pada masa ini dihadapi oleh segelintir yang lain sebagai satu pukulan maut.

“Kepada para tauke yang ada ‘cable’, masalah ini dianggap “tidak ada kerugian material”, dan sebaliknya boleh ditangani dengan sedikit pengstrukturan korporat.

“Kepada ahli-ahli ekonomi, ia hanya “risiko moral”. Namun, rakyat Malaysia melihatnya sebagai satu bentuk ketidakadilan,” tambah Anwar lagi.