Jalan Kota Bahru-Gua Musang retak teruk, JKR mohon peruntukan Kerajaan Persekutuan

Oleh MALAYSIADATELINE

Jalan raya utama yang menghubungkan Kota Bharu-Gua Musang di antara jejambat Machang dan Simpang Tiga Kemuning terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan ekoran mengalami keretakan serius.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub, mendapan tanah yang semakin ketara di laluan tersebut menyebabkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya sekiranya terus digunakan.

Oleh yang demikian, jalan utama dalam jarak hampir satu kilometer itu terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan demi keselamatan pengguna buat sementara waktu sehingga semua kerja-kerja baik pulih selesai.

Pihak JKR Kelantan juga difahamkan sudah memohon peruntukan diperlukan daripada Kerajaan Persekutuan agar kerja-kerja pembaikan jalan raya berkenaan dapat dilaksanakan dengan segera, lapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Nik Soh turut menjelaskan bahawa laluan tersebut juga pernah ditutup sebelum ini namun hanya melibatkan satu lorong susulan kejadian runtuhan pembentung yang berlaku pada beberapa minggu lalu.

“Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati retakan yang berlaku semakin besar menyebabkan pihak JKR Kelantan mengambil langkah penutupan penuh atas faktor keselamatan. Kami sudah menjalankan penilaian struktur.

“Keadaan tanah di kawasan itu didapati tidak lagi stabil. Demi keselamatan pengguna jalan raya, laluan ini perlu ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja baik pulih selesai,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika dihubungi pihak media.

Sebagai langkah sementara, pengguna yang menghala ke destinasi sama ada ke Kuala Krai-Gua Musang atau Kuala Krai-Kota Bharu dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif melalui Bandar Machang Lama.

Baca juga: Pensyarah PhD rugi lebih RM240k, terpedaya skim pelaburan palsu