Rakyat tidak boleh lagi membiarkan Melaka dan Malaysia terikat dengan politik lama yang bersifat perkauman, kata Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong.
Beliau berkata, tanpa prinsip kepelbagaian kaum serta keprihatinan untuk semua kaum, masalah perkauman akan terus menjadi barah dalam masyarakat
Justeru katanya, PH akan terus menawarkan wawasan Malaysia yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan, sebagai panduan untuk memimpin dan menjaga keperluan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.
“PH juga tidak akan bermain dengan sentimen kaum serta amalan perkauman.
“Manakala BN dan PN serta Pas yang sering bermain dengan politik ketuanan kaum tidak akan mampu mengatasi masalah yang kita hadapi sekarang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Liew juga tidak menafikan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan satu cabaran yang amat sukar buat Pakatan Harapan.
Beliau berkata, kekangan untuk berkempen, kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19, fitnah dalam politik serta sikap dingin pengundi menjadikan PRN kali ini satu laluan yang sukar.
Bagaimanapun menurutnya, langit tidak selalu mendung kerana PH akhirnya mencapai kata sepakat untuk masuk ke gelanggang PRN Melaka sebagai satu pasukan yang teguh dan padu.
“Ketiga-tiga pemimpin PH bersetuju untuk menggunakan lambang Pakatan Harapan sebagai logo bersama. Keputusan yang dipuji ini amat penting kerana ia akan memberi kesan positif menjangkaui PRN Melaka.
“Setelah bertegang urat buat seketika, keputusan ini mengakhiri teka-teki berhubung pendirian PH sejak kebelakangan ini. Keyakinan baharu ini akan menghasilkan gabungan yang lebih mantap dan kukuh.
“PH yang kini bersatu padu dengan satu logo di bawah pimpinan Adly Zahari yang telah berjaya menyelesaikan agihan kerusi, kini bersedia untuk berhadapan dengan lawannya,” ujarnya.
Dalam sidang media semalam, pimpinan tertinggi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa semua parti komponen telah mencapai kata sepakat dalam agihan kerusi iaitu PKR 11, AMANAH 9 dan DAP 8.