Ini bukanlah tahun pertama usahawan popular, Khairul Aming berkongsi resipi untuk juadah berbuka dan sahur.
Pelbagai resipi daripada lauk, manisan hingga kepada air disajikan buat para peminat yang sudah kehabisan idea untuk memasak.
Bagaimanapun tahun ini terlihat banyak individu yang mengikut resipinya gagal mendapatkan hasil sama seperti Khairul.
Tidak terkejut dengan hasilnya, Khairul dalam satu video berkongsi tahap kepakaran setiap individu itu berbeza jadi mustahil untuk semuanya menjadi.
“Kita boleh nampak ramai orang yang masuk dapur dan cuba memasak. Kena ingat tak semua orang tahap masak mereka sama.
“Ada orang setahun sekali baru masak, ada yang tak pernah masuk langsung dan ada yang memang ‘expert’.
“Tak kira apa resipi kita bagi akan ada orang tak reti memasak, tambahan nak kawal api, berapa lama nak goreng sebelum hangus.
“Tapi tak apa, memang semua kena lalui fasa tu untuk belajar, teruskan memasak, harapnya tahun ni orang suka resipi yang disediakan,” ujarnya dalam video dimuat naik di TikTok @Fans KhairulAming.
Berkongsi bagaimana resipi itu tidak menjadi, Khairul yakin ada yang tidak mengikut langkah sepatutnya, malah ada yang ubah suai resipi ikut kehendak hati.
“Cuma satu saya nak pesan, bahan tu tolong ikut sebiji, penat dah buat ‘Research and Development’ berbulan-bulan untuk resipi tu sampailah ia menjadi dan senang untuk orang ikut.
“Cuma ada orang yang derhaka resipi, contohnya macam benda sepatutnya masak lima minit, dia masak jadi 10 minit.
“Kalau guna air ada yang tukar susu, tak boleh nanti lari resipi tapi secara keseluruhan rasa bangga sebab ramai mencuba untuk masak,” kongsinya.
Baca juga: Lelaki hantar kuih raya naik pesawat dari KL ke JB, pelanggan rela ‘sponsor’ tiket – “Mesti sedap!”