Jika ada pemimpin baharu yang disepakati untuk menerajui PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlapang dada menerimanya.
Demikian pendirian Ahli Parlimen Port Dickson itu ketika ditanya jika ada pemimpin baharu yang ingin menerajui PKR menggantikannya.
Tokoh yang terkenal dengan gerakan Reformasi itu berkata, beliau akan memberi ruang jika ahli akar umbi bersepakat mahu menerima kepemimpinan tertinggi yang baharu.
“Saya bagi ruang kalau konsensus (kesepakatan ahli) nak terima yang baharu (pemimpin).
“Dalam hal ini kita harus terbuka, jangan terlalu mengongkong dan menerima kebangkitan tokoh baharu.
“Kita tengok tokoh ditonjolkan dan macam mana konsensus kepimpinan seterusnya ‘move on’ (teruskan),” dipetik BH.
Sebelum itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang kini berusia 74 tahun berkata, bagaimanapun PKR belum memutuskan tarikh pemilihan yang akan diadakan.
“Kita belum putus lagi bila pemilihan. kalau ada pemilihan kita mesti bagi ruang,” ujarnya lagi.