Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan anggota bomba sedang mengeluarkan sesuatu daripada lubang tandas di dalam kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Pontian, Benut, Johor.
Situasi bagaimanapun malah menjadi memilukan apabila didapati apa yang keluar daripada lubang tandas tersebut adalah janin dikatakan cukup sifatnya namun sudah tidak bernyawa lagi.
Kejadian dikatakan berlaku pada Jumaat sekitar pukul 9 pagi yang mana janin berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut dikongsikan dalam hantaran itu yang mana ibu bapa kepada pelaku dikatakan sempat juga masuk ke dalam premis untuk membeli tuala wanita buat anak mereka.
“Buang anak dekat stesen minyak Pontian. Mak ayah juga masuk dalam siap belikan tuala wanita untuk anak,” tulis keterangan video berdurasi satu minit 50 saat yang sudah tersebar di pelbagai platform media sosial.
Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata bahawa janin itu sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk dibedah siasat.
Menurut Mohammad Shofee, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran anak, lapor Sinar Harian.
Beliau juga memaklumkan bahawa siasatan awal pihak polis membawa kepada pengecaman seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Baca juga: SPRM rampas barangan mewah, alatan kasino dalam kediaman Tan Sri bernilai RM16 juta