Jauh di pedalaman pun tak tercicir! 226 penerima Orang Asli terima STR berjumlah RM155,900

Oleh MALAYSIADATELINE

Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 bagi kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia diteruskan hari ini dengan melibatkan masyarakat Orang Asli di Balai Raya Agropolitan Runchang, Pahang.

Menurut Kementerian Kewangan, program itu merupakan kesinambungan kepada siri penunaian STR yang sebelum ini dilaksanakan di Sungai Siput, Perak.

Seramai 226 penerima menerima bantuan STR dengan jumlah keseluruhan RM155,900 menerusi program tersebut.

Kementerian memaklumkan, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan bantuan disampaikan secara terus, cekap dan menyeluruh kepada golongan yang layak, termasuk komuniti yang menetap di kawasan pedalaman.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan penyertaan Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Jualan Rahmah, sekali gus membolehkan penerima yang layak membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad masing-masing.

Selain itu, perkhidmatan bergerak Bank Simpanan Nasional (BSN) turut disediakan bagi memudahkan urusan penerima mendapatkan bantuan.

Kementerian berkata, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat bantuan, tanpa mengira lokasi atau latar belakang.

“Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat bantuan, sekali gus memperkukuh kesejahteraan rakyat tanpa mengira lokasi dan latar belakang.

“Diharapkan sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu meringankan beban kos sara hidup serta memenuhi keperluan harian para penerima.

“Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk terus memelihara kebajikan rakyat dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada inisiatif yang disediakan,” ujar kenyataan tersebut.

Baca juga: Prestasi Malaysia atasi unjuran, ini faktor KDNK berkembang kepada 5.8 peratus