Prestasi Malaysia atasi unjuran, ini faktor KDNK berkembang kepada 5.8 peratus

Oleh MALAYSIADATELINE

Laporan anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 sekali gus lebih kukuh berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Perkembangan yang dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan ini turut mengatasi pertumbuhan KDNK pada tahun lalu iaitu sebanyak 5.2 peratus.

Malah rekod prestasi ini turut mengatasi unjuran median 5.2 peratus dalam tinjauan media antarabangsa iaitu Bloomberg, meskipun penganalisis ekonomi menjangkakan pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua menyederhana berbanding suku pertama.

Menurut Kementerian Kewangan memaklumkan, pencapaian itu mencerminkan asas ekonomi negara yang pelbagai dan berdaya tahan dalam mendepani krisis Asia Barat, gangguan rantaian bekalan serta kenaikan mendadak harga minyak dunia.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh daya tahan ekonomi dan kekal pada landasan reformasi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta kesejahteraan rakyat. Angka 5.8% merupakan anggaran awalan.

“KDNK preliminari bagi suku kedua 2026 akan diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Ogos 2026,” kata Kementerian Kewangan menerusi kenyataan yang dikongsikan di platform Facebook itu.

Berikut kami kongsikan faktor pendorong yang menyumbang kepada perkembangan KDNK bagi suku kedua 2026 sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara;

  • Sektor perkhidmatan – Pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan peningkatan 5.4 peratus yang disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.
  • Sektor pembuatan – Mengukuh kepada 7.5 peratus, didorong industri yang berorientasikan eksport terutamanya pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
  • Sektor perlombongan dan pengkuarian – Prestasi dalam bidang ini juga kembali pulih dengan merekodkan peningkatan sekitar 10.2 peratus didorong oleh subsektor gas asli.
  • Sektor pembinaan – Tumbuh sederhana pada 6.6 peratus berbanding peningkatan 7.7 peratus di suku tahun pertama 2026 disokong oleh subsektor bangunan bukan kediaman bagi projek pembinaan pusat data dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.
  • Sektor Pertanian – Prestasi dalam bidang ini bagaimanapun menguncup 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 2.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, susulan penurunan dalam semua subsektor kecuali pertanian lain dan ternakan.

Baca juga: Kerajaan MADANI Terus Tingkat Dan Martabat Sekolah Agama, Pondok Seluruh Negara – Anwar