Jawatan MB Selangor, N. Sembilan milik Bersatu – Muhyiddin

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan jawatan Menteri Besar (MB) Selangor dan Negeri Sembilan akan diberikan kepada parti itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan kedua-dua negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata rundingan membabitkan pengagihan kerusi dan jawatan penting dalam kerajaan antara parti komponen PN di enam negeri yang akan mengadakan PRN telah hampir dimuktamadkan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kami dah rundingkan dengan PAS dan parti lain bahawa (jawatan MB) Kelantan, Terengganu, Kedah kekallah di bawah PAS dan insya-Allah berdasarkan tinjauan kita, Kelantan, Kedah, Terengganu kita akan sapu bersih.

Dalam rundingan itu, untuk Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah disahkan bahawa apabila menang, Selangor dan Negeri Sembilan akan diwakili oleh Bersatu sebagai Menteri Besar manakala bagi Pulau Pinang, kita yakin boleh kurangkan jumlah kerusi lawan dan jika ditakdirkan menang, jawatan Ketua Menteri akan ditentukan berdasarkan parti mana yang mendapat kerusi terbanyak,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 Kali Kelima di sini hari ini. 

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, usaha menawan Selangor daripada Pakatan Harapan akan diterajui oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin, Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Ansari sebagai penyelaras bersama.

Pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata status akaun Bersatu yang kini dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menjejaskan jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersatu dalam PRN nanti.

Baca Artikel Penuh