Pelakon sensasi Indonesia, Jefri Nichol nampaknya tidak mahu lagi berselindung mengenai hubungan istimewa yang dijalaninya bersama pempengaruh tempatan iaitu Ameera Khan.
Malah pelakon berusia 26 tahun terbabit secara terang-terangan mengakui tidak mahu kehilangan Ameera atau nama sebenarnya, Nur Ameera Abdul Halim Khan itu di dalam hidupnya.
Menurut Jefri, Ameera yang juga merupakan adik kepada usahawan selebriti iaitu Noor Neelofa itu adalah pasangan paling sepadan dengannya berbanding wanita lain dalam hubungannya sebelum ini.
Jefri turut mengakui bahawa pempengaruh yang mesra dikenali sebagai Little Miss Khan (LMK) itu adalah individu bertanggungjawab dalam mengubahnya menjadi insan lebih baik buat masa ini.
Perkara itu didedahkan oleh Jefri ketika menjadi tetamu jemputan di dalam program audio siar iaitu ‘Curhat Bang’ yang dikendalikan oleh pengacara dan personaliti popular Indonesia, Denny Sumargo.
“Saya tak mahu kehilangan Ameera kerana merasa lebih secocok dengannya berbanding perhubungan sebelum ini. Ameera juga mampu mengubah saya untuk menjadi individu yang lebih baik,” akuinya.
Menerusi program disiarkan di platform Youtube itu, Jefri juga memaklumkan bahawa Ameera sememangnya layak untuk mendapat pasangan yang memahami dan mampu melindungi serta menjaganya dengan baik.
Oleh yang demikian, Jefri mahu menjadi pelindung gadis berusia 25 tahun terbabit selain berharap agar hubungan yang dijalani bersama Ameera boleh membawa kepada arah lebih serius selepas ini.
“Ameera adalah individu yang baik dan dia layak untuk dapat seseorang yang memahaminya. Malah dia juga rapat dan baik dengan keluarganya. Saya mahu menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Lagipula hubungan ini juga saya anggap serius. Doakan saya,” ujar selebriti yang mula meraih populariti di negara seberang menerusi lakonannya dalam filem Dear Nathan itu.
Baca juga: Dulu cuma jurujual kereta, anak Malaysia ini sekarang tersenarai dalam 50 individu terkaya