Kadang-kadang mereka yang terlalu obses dengan jenama mewah ini tidak melihat kepada kualiti tetapi lebih kepada jenama.
Malah jika dilihat gaya dan reka bentuk fesyen pula lebih kepada cacamarba dengan warna yang terlalu terang.
Namun masih ada peminat yang sanggup menghabiskan duit untuk membayar kualiti yang tidak setara dengan harga.
Tular, satu jenama mewah dari Sepanyol, Balenciaga yang menampilkan aksesori unik berupa gelang tangan menyerupai pita pelekat.
Menurut stesen penyiaran NDTV, walaupun nampak seperti objek biasa, namun ia memilik logo jenama fesyen tersebut.
Gelang itu dikatakan dilancar semasa Minggu Fesyen Paris bagi koleksi Musim Luruh/Musim Sejuk 2024, awal bulan ini.
Tidak menerima respon positif, rata-rata pengguna media sosial mengakui terkejut apabila mengetahui harganya hampir mencecah RM19k.
“Rumah fesyen mewah Balenciaga sekali lagi mencetuskan perdebatan dengan aksesori terbarunya, gelang menyerupai pita pelekat, lengkap dengan logo jenama dan tanda harga besar AS$4,000(RM18,936)! Ini gila,” ujar pengguna X.
Walaupun masih belum berada di pasaran namun beberapa pempengaruh fesyen memaklumkan harga gelang itu boleh mencecah AS$4,400 (RM20,829.60).
Sebelum ini jenama sama turut menjual beg kulit mirip plastik sampah pada harga AS$1,790 (RM8,473.86).