Sekiranya Barisan Nasional (BN) terus berdiam diri mengenai kemungkinan kerjasama, Perikatan Nasional (PN) sedia berdepan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan pembangkang pada PRN Melaka 20 November ini.
“Persoalan berbangkit adakah pihak sana bersedia (bekerjasama), Kita tidak dapat jawapan tegas dan jelas. Masa begitu singkat dan juga sudah diumumkan tarikh penamaan calon, pemilihan dan pengundian.
“Perkara ini pernah disuarakan Datuk Mohd Rafiq (Pengerusi PN Melaka) yang menyatakan di peringkat awal lebih seminggu lalu bahawa kami bersedia bekerjasama,” ujarnya.
Mahiaddin berkata demikian selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan Negeri Melaka hari ini.
Kelmarin, PN telah melancarkan jentera pilihan raya PRN Melaka yang turut dihadiri tiga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Rafiq Naizamohideen dan Datuk Dr Radzi Md Jidin serta Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
PRN Melaka diadakan susulan tindakan empat ADUN Melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu sekali gus menumbangkan kerajaan negeri yang diterajui Umno.
Mereka ialah bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (AMANAH).