Jiran dah 2 tahun meninggal, wanita pelik nampak ‘delivery’ makanan atas pagar, lagi terkejut lihat isinya

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak dinafikan, ada sahaja kisah pelik yang dialami penghantar makanan atau rider ketika menjalankan tugas.

Bukan setakat menerima alamat yang meragukan, malah ada yang mendakwa terpaksa menghantar pesanan sehingga ke kawasan perkuburan atau rumah kosong yang ditinggalkan.

Menerusi TikTok, seorang pengguna dikenali sebagai Syaa terkejut melihat ada makanan dalam plastik yang diletakkan di atas tembok pagar jirannya.

Kongsinya jiran tersebut sudah meninggal dunia dua tahun lepas dan rumah tersebut sememangnya kosong kerana pemilik tinggal seorang diri.

“Sangka baik, rider salah alamat, yang pastinya aku lari masuk kereta terus,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Bagaimanapun ada penghantar makanan berkongsi agak susah untuk mereka salah alamat.

“Untuk pengetahuan semua, saya sebagai rider, sebenarnya benda ni normal. Ada je beberapa kali dapat order macam ni dan hantar je.

“Kadang-kadang tu tahu je rumah tu takde orang atau macam ada sesuatu, tapi sebab kerja kan, so dapat duit dah masuk, kami chow (teruskan perjalanan) je la,” kongsi seorang rider.

Dedah pemilik video lagi, dia cuba menyelidik alamat makanan seperti diminta netizen tersebut namun tiada resit, lebih mengejutkan makanan tersebut sudah berkulat.

“Saya siasat dan cuba teka. Makanan tu dah berulat, tak ada resit, tak ada alamat. Tak ada apa langsung dan saya lari masuk rumah,” kongsinya di ruangan komen.

Baca juga: Pemilik rumah di tengah lebuh raya akhirnya berpindah lepas tak tahan bunyi bising