Johor dijadikan tempat buang sisa toksik secara haram, JAS tunggu laporan penuh

Oleh KIM SYAZIE

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor masih belum menerima apa-apa maklumat mengenai lokasi yang dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram di negeri itu.

Ia susulan laporan dari Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang telah mengenal pasti empat negeri iaitu Selangor, Johor, Pahang dan Perak mempunyai banyak kawasan yang dijadikan tempat buangan sisa toksik haram.

Pengarah JAS, Dr Mohd Famey Yusoff berkata siasatan terperinci dan menyeluruh akan dilakukan sebaik laporan itu diterima.

“Setakat ini, saya masih belum menerima apa-apa maklumat daripada MYSA, begitu juga mengenai keberadaan lokasi tapak pelupusan haram itu di negeri ini.

“Saya juga telah merujuk ibu pejabat dan mereka juga memaklumkan sedang menunggu maklumat sama daripada agensi itu. Jadi siasatan akan dijalankan sebaik laporan diterima,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai Arah Selatan, di sini hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti antara negeri yang mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram di negara ini.

Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MYSA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, yang tercemar dengan sisa kimia dan berbahaya tiga tahun lalu.