‘Johor Memilih’ beri pencerahan kepada pengundi

Oleh ARIF ATAN

Ajar Demokrasi (AD) telah melancarkan inisiatif ‘Johor Memilih’ untuk berkempen dan memberi pencerahan kepada komuniti dan anak muda berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Koordinator Projek dan Perhubungan Luar AD, Najmi Hakim berkata, laman web khas, info.johorngundi.com membantu pengundi di negeri selatan tanah air itu mengetahui maklumat penting berkenaan kesemua 239 calon bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dengan keadaan wabak pandemik Covid-19 yang belum berakhir ditambah dengan peningkatan kes semula, AD merasakan laman web ini adalah medium untuk membantu pengundi mengetahui calon mereka di setiap DUN yang akan diundi tanpa memerlukan perjumpaan fizikal dan isu berkaitan supaya mereka dapat mempertimbangkan calon mana yang akan dipilih pada hari pengundian Sabtu, 12 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, AD turut bekerjasama bersama Nusantara Academy Strategic Research (NASR) dan
Gerakan Johor Ngundi bagi menambahkan lagi capaian dan membantu inisiatif Johor Ngundi
dalam mempromosikan inisiatif mereka untuk membawa pulang anak-anak Johor mengundi
hujung minggu ini.

“Diharapkan inisiatif ini dapat dikembangkan lagi kepada seluruh rakyat Malaysia terutama
pengundi Johor yang akan mengundi nanti,” katanya lagi.

'Johor Memilih' beri pencerahan kepada pengundi
Pengundi dapat mengetahui maklumat penting berkenaan calon bertanding di kesemua 56 DUN.

Untuk rekod, Ajar Demokrasi (AD) merupakan projek yang diasaskan oleh Akademi Literasi Politik SHIELD bagi menangani masalah literasi politik dalam kalangan anak muda serta masyarakat secara amnya.

AD menawarkan pengisian dan penulisan yang berkualiti serta kreatif kepada pembaca yang didirikan oleh 15 anak muda dengan purata umur 25 tahun dan ke bawah.

Setakat 10 bulan bergerak dalam ruang awam, seramai 67,000 pengunjung melawati laman web Ajar Demokrasi, www.ajardemokrasi.com dan hampir 9 juta ‘impression’ daripada Twitter AD menerusi pengisian yang dikongsikan.

Terdapat penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas dalam PRN Johor susulan pendaftaran automatik Undi18.