JPJ wajibkan semua dalam kereta pakai tali pinggang keledar

Oleh ROSLAN ZAMAN

Semua pengguna dan penumpang kenderaan persendirian diwajibkan memakai tali pinggang keledar, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Katanya keutamaan JPJ ketika ini ialah melaksanakan advokasi pemakaian tali pinggang keledar antaranya melalui kempen “Klik Sebelum Gerak”, katanya tanpa dedahkan tarikh mula penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar itu.

Memetik dari portal BH Online, beliau berkata kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ dilancarkan hari ini sebagai usaha memperkukuh budaya keselamatan jalan raya dan menekankan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna kenderaan iaitu pemandu dan penumpang kenderaan.

“Selaras dengan kempen ini juga, kita akan maklumkan kemudian penguatkuasaan untuk pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang-penumpang kereta persendirian selepas ini.

“Kita akan maklumkan nanti, sekarang ini kita mulakan dengan kempen terlebih dahulu kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ dan kemudian kita akan maklumkan bilakah tarikh yang kita akan tentukan untuk penguatkuasaan bagi penumpang-penumpang kereta,” katanya dalam sidang media semalam.