Jual biskut raya Rahmah hanya RM6 sebekas, rupanya ada kisah sedih disebaliknya

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang nak dapat biskut raya satu bekas bawah RM10 sangatlah susah, di pasar raya juga rata-rata dijual pada harga lebih mahal.

Kekal dengan Menu Rahmah, Khairruni Ahmad Zabidi yang dikenali sebagai Opah Chik tampil menjual 60 jenis kuih raya dan satu bekas hanya berharga RM6 sahaja.

Jelasnya kesemua kuih dibuat sendiri dan mengambil masa dua minggu sebelum puasa untuk menyiapkan ia.

“Dekat sini ada Menu Rahmah, benda ini Opah Chik dah kekalkan sejak tahun lepas. Harga masih kekal RM6 untuk satu bekas walaupun kos dia tinggi tapi harga kekal.

“Tahun ini ada 60 jenis biskut, semua kuih ini dibuat sendiri dan mengambil masa dua minggu sebelum puasa,” kongsinya dalam TikTok Viral Perak.

Bagi mereka yang mahukan bekas lebih besar harga dijual bermula RM20 dan ke atas dan kebanyakan kuih dibuat secara tradisional.

Memetik Bernama, Khairruni berkongsi kisah disebalik tercetusnya idea untuk menjual kuih raya pada harga rahmah.

Jelasnya dia dan anaknya Norhidayu Abdullah terkesan akan kisah pelanggan yang tidak dapat memenuhi permintaan anak kerana kurang wang.

“Biasalah pelanggan bila bawa anak, ada anak yang peluk terus balang biskut, namun oleh kerana harganya sekitar RM28 hingga RM35 sebalang, pelanggan tidak mampu nak bayar biskut yang dimahukan.

“Jadi saya jual biskut serendah RM6. Jika pelanggan ada RM50 dengan biskut raya rahmah ini, mereka boleh dapat hingga lapan bekas,” katanya.

Baca juga: Netizen Indonesia kata Malaysia diam-diam ‘kaut’ semua pelabur masuk Malaysia