‘Kadang sehari dapat RM20 pun saya bersyukur’ – wanita gagah hantar makanan sambil bonceng tiga anak

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial, sebuah gambar menyentuh hati memaparkan seorang wanita gigih bekerja sebagai penghantar makanan sambil membawa tiga orang anak kecil bersamanya.

Ketabahan wanita ini meraih perhatian ramai, mencetuskan rasa kagum dan simpati terhadap perjuangannya mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga.

Menurut Malaysia Gazette, wanita berusia 23 tahun dikenali sebagai Noryani Syakira Yaakob mencari rezeki lebih bagi membantu suaminya yang bekerja di bengkel.

“Saya terpaksa membonceng tiga anak bersama untuk mencari rezeki kerana mahu menambah pendapatan membantu suami yang bekerja di bengkel.

“Lagi pun, tak sanggup dengar anak lelaki berusia berusia 10 bulan, dua dan lima tahun merengek minta itu dan ini.

“Kalau kerja dapatlah RM20 ke RM30 sehari untuk tampung keperluan anak,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette.

Jelasnya gambar yang tular itu berlaku dua minggu lalu ketika dia dalam perjalanan menghantar pesanan dari Bukit Katil ke Hospital Melaka dengan upah RM5.

Baginya ia adalah rutin biasa sejak dua bulan lalu untuk membawa tiga anak memandangkan suaminya yang berusia 22 tahun Muhammad Haidar Abdul Rahimin bekerja.

“Saya terpaksa bawa anak bersama kerana suami juga keluar bekerja di bengkel dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,200.

“Kadang sehari dapat RM20 atau RM30 pun saya bersyukur, asalkan ianya dapat menghilangkan rasa serba salah bila anak minta sesuatu yang tak mampu diberi.

“Dapatlah juga bantu suami tampung keperluan asas anak-anak selain lampin, susu dan sewa rumah di Bukit Lintang RM350 sebulan,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun dia memaklumkan hanya bekerja pada hari dengan cuaca yang baik kerana bimbang keselamatan anak-anak.

Baca juga: Lelaki Singapura potong rambut di JB, terkejut lelaki bertopeng datang simbah cat merah