Kadar jenayah turun 40 peratus di Johor

Oleh ARIF ATAN

Indeks jenayah di Johor mencatatkan penurunan 40 peratus bagi Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sebanyak 3,707 kes direkodkan di antara awal tahun ini sehingga Oktober lalu berbanding 6,176 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya, iaitu pengurangan sebanyak 2,469 kes.

Menurutnya, perangkaan itu membabitkan jenayah kekerasan, harta benda, selain curi motosikal, pecah rumah dan samun berkawan tanpa senjata api.

“Jenayah kekerasan menunjukkan penurunan sebanyak 355 kes, iaitu 31 peratus, jenayah harta benda pula merekodkan 2,114 kes (42 peratus) dan curi motosikal mencatatkan 1,062 kes (51.7 peratus).

“Bagi jenayah pecah rumah merekodkan penurunan 762 kes (27.2 peratus), manakala kes samun berkawan tanpa senjata api pula sebanyak 223 kes (42.5 peratus).

“Selain itu, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor mencatatkan tangkapan kedua tertinggi keseluruhan di Malaysia dengan seramai 11,461 tangkapan membabitkan 9,766 kes,” katanya, di Johor Bahru hari ini.

Ayob Khan berkata, dalam tempoh itu juga, lima makmal haram dadah dan enam stor penyimpanan dadah dibongkar, dengan nilai rampasan keseluruhan RM372.46 juta bersamaan 11,957.11 kilogram dadah.

Jelasnya, sebanyak 17 kumpulan sindiket dadah ditumpaskan dengan tangkapan seramai 108 ahli sindiket.