Kadar kematian akibat Covid-19 meningkat

Oleh ARIF ATAN

Kadar kematian akibat Covid-19 menunjukkan peningkatan 5.2 peratus iaitu 522 kes berbanding minggu epidemiologi ke-42 (ME-42).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar kematian semasa adalah sebanyak 1.1 peratus dan kadar kematian keseluruhan adalah 1.2 peratus.

“Sarawak, Perlis dan Pulau Pinang mencatatkan insiden kes kematian tertinggi bagi setiap satu juta populasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, peningkatan turut dilihat pada nilai kebolehjangkitan (Rt) negara sejak 23 Oktober lalu.
Nilai Rt yang melebihi angka satu itu menunjukkan potensi berlakunya rantaian penularan jangkitan Covid-19 seperti yang berlaku pada permulaan gelombang ketiga terdahulu.

Turut dilihat ialah peningkatan kluster institusi pendidikan susulan pembukaan semula institusi pengajian tinggi secara bersemuka bermula ME-41.

“Sebanyak 46 kluster dilaporkan pada ME-43 yang terdiri daripada kluster tempat kerja (25), institusi pendidikan (sembilan), komuniti (tujuh) dan kumpulan berisiko tinggi (lima),” jelasnya.