Kaji balik serahkan urusan parkir kepada CityPark, desak Pemuda AMANAH Kelantan

Oleh BORHAN AHMAD

Pemuda AMANAH Negeri Kelantan mendesak kerajaan negeri Kelantan untuk mengkaji semula perjanjian diantara Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dengan City CarPark selaku syarikat ataupun konsesi yang diberi tanggungjawab untuk mengurus perihal parkir di dalam kawasan kendalian MPKB-BRI.

Ia dinyatakan Pemuda AMANAH dalam memorandum yang diserahkan kepada Dr Izani Husin selaku Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan semalam.

Memorandum itu diserahkan Pemuda AMANAH oleh kepimpinan mereka yang diketuai oleh Hazmin Hassan.

Menurut memorandum itu, sejak City CarPark mengambil alih perihal parkir, MPKB-BRI selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hilang kuasa dan diperguna City CarPark dimana pekerja buruh MPKB-BRI dilihat bekerja di bawah syarikat tersebut.

Sepatutnya semasa menandatangani perjanjian, PBT tidak memberi kuasa penuh kepada syarikat di mana di dalam pentadbiran tetap kena ada budi bicara.

HAZMIN HASSAN ketika bercakap dengan pemberita semalam.

“Seperti kita semua sedia maklum, menurut mana-mana akta ataupun undang-undang ; di mahkamah, setiap pesalah mempunyai hak untuk merayu dan Hakim ataupun Majistret ada kuasa untuk menjatuhkan hukuman ataupun sekadar memberi amaran,” kata memorandum yang diserakab kepada Ketua Ketua Polis Bantuan Kota Darul Naim, Pusat Pentadbiran kerajaan negeri Kelantan itu.

Pemuda AMANAH Negeri Kelantan mencadangkan supaya Dr Izani mengkaji balik perjanjian dan membatalkan jika ianya tidak menguntungkan MPKB-BRI dan ianya tidak mesra rakyat.

Pemuda AMANAH Negeri Kelantan juga mencadangkan supaya MPKB-BRI Kembali mengambil alih pengurusan parkir supaya ianya tidak dilihat mengaut keuntungan tanpa ada toleransi kepada warga emas dan juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ini berikutan terlalu banyak bantahan dan rintihan yang disuarakan oleh rakyat Kelantan berkaitan dengan sistem dan pelaksanaan parkir di bandar Kota Bharu.

Selain itu, Pemuda AMANAH Negeri Kelantan juga mendesak supaya caj parkir diturunkan daripada RM0.80 kepada RM0.60 sejam kerana kadar yang dikenakan oleh City CarPark lebih mahal berbanding Bandaraya Shah Alam (RM0.60) sedangkan MPKB-BRI selaku PBT di kawasan ini belum lagi dinaik taraf sebagai sebuah bandaraya.

Pemuda AMANAH Negeri Kelantan juga mahukan penjelasan adakah parkir di sekitar Kota Bharu telah diswastakan kepada City CarPark dan jika ya, sejauh manakah bidang kuasa pihak swasta tersebut mempunyai kuasa di sudut legal binding untuk menyita atau mengunci kenderaan yang salah parkir?

“Kami juga mahukan penjelasan adakah City CarPark menggunakan penguatkuasa yang dibayar gaji bulanan oleh MPKB-BRI selaku majikan namun bekerja sebagai tukang kapit tayar dengan City CarPark dan apakah anggota penguatkuasa yang menjalankan kerja bagi pihak swasta adalah sah dari perundangan atau sahkan dari sudut perundangan syarikat swasta menggunakan anggota penguatkuasa milik MPKB-BRI yang membayar gaji mereka?” soal mereka.