Usahawan kontroversi, Kak KM kembali menjadi sorotan selepas memberikan hadiah kereta berjenama mewah iaitu Mercedes-Benz kepada anak bujang kesayangannya.
Menerusi satu rakaman yang dikongsikan di laman Instagram, remaja lelaki terbabit turut menerima cek berjumlah RM10,000 dari pemilik nama sebenar Liana Rosli itu.
Difahamkan, kedua-dua hadiah berkenaan diberikan susulan remaja bernama Mohd Faris itu mendapat keputusan cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu 6A.
Kak KM dalam rakaman itu turut memaparkan situasi haru ketika menemani anaknya mengambil keputusan SPM di sekolah remaja berkenaan pada pagi Isnin (semalam).
Terlalu gembira dengan kejayaan yang dicapai Faris, Kak KM sempat bersorak ketika melihat abjad A sebelum menitiskan air mata terharu lalu memeluk anak lelakinya itu.
Wanita yang berusia 43 tahun itu turut memanjatkan kesyukuran di atas keputusan cemerlang diraih oleh Faris meskipun anak lelakinya itu tidak memperoleh semua A.
“Faris. Sempena kejayaan abang, ini hadiah pertamanya iaitu kereta. Kemudian yang kedua adalah RM10,000. I love you (sayang awak) anak Mama,” kata Kak KM sambil menyerahkan kunci kereta dan cek bank.
Sementara itu, Faris turut memuat naik perkongsian di akaun Instagram miliknya bagi mengucapkan terima kasih kepada ibunya berikutan sentiasa memberikan sokongan.
“Syurgaku, terima kasih kerana sering menyokong abang tanpa rasa penat lelah dan sentiasa ada apabila abang rasa susah ataupun keseorangan. Terima kasih sentiasa mendoakan dan solat sunat hajat untuk abang.
“Mama sudah berikan abang segala-galanya yang tidak mungkin dapat dibalas. Abang hanya mampu memberi kebahagiaan dan senyuman kepada Mama. Tanpa doa dan berkat mama, abang tidak akan dapat keputusan yang baik untuk SPM.
“Mamalah segalanya untuk abang. Kasih sayangmu tidak ternilai dan tidak ada perkara yang boleh menggantikannya, Cintaku,” tulis Faris sebagai ucapan penghargaan kepada Kak KM.