Pekerja dimarahi majikan sering berlaku di tempat kerja, sama ada disebabkan kesilapan kecil, kelewatan menyiapkan tugasan, atau kegagalan memenuhi jangkaan syarikat.
Walaupun teguran adalah perkara biasa untuk memperbaiki prestasi, cara majikan menyampaikan kritikan memainkan peranan penting terutama untuk mental pekerja.
Tampil menjelaskan punca anak berhenti kerja, usahawan sensasi Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM menafikan anaknya Nabila Razman tidal layan menjadi kru kabin.
Jelas Kak KM, sebagai seorang ibu dia tidak sanggup melihat anaknya berdepan kemurungan akibat dimarahi majikan sehingga sanggup membayar penalti lapor Kosmo! Online.
“Terus-terang memang saya bayar penalti sebab tidak mahu anak saya kerja di sana. Tidak ada masalah, saya bayar saya mahu anak saya balik.
“Saya tidak besarkan anak saya untuk orang sesuka hati marah-marah. Saya sendiri tidak marah anak saya, ini apabila saya hantar pergi kerja kenapa hendak marah anak saya.
“Bagi saya tak apa rugi sikit, janji pulang semula anak saya. Cuma saya tidak boleh nak beritahu jumlah sebenar bayaran penalti.
“Apa yang saya boleh kongsi adalah maksimum bayaran sebanyak RM50,000,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Tegasnya, Nabila bukanlah tidak lepas sesi temuduga mahupun diberhentikan kerja, jika perkara itu benar maka dia tak perlu bersusah payah membayar penalti.
Pada masa sama, Kak KM menganggap anaknya boleh sahaja ditegur majikan cuma ia perlu dilakukan secara profesional.
“Anak saya boleh sahaja berkerja dengan orang, tetapi dia sudah berusia 22 tahun, jadi kena cakap elok-elok dengan dia dan bersikap profesional sahaja.
“Saya mengaku memang saya yang salah minta dia berhenti kerja sebab saya tidak sanggup. Anak saya bukan untuk diperlekehkan orang lain,” kongsinya.
Baca juga: Eda Ezrin buat luahan di media sosial selepas dibebaskan