Memilih parti-parti politik yang bermasalah hanya akan menyebabkan ketidakstabilan politik terus berpanjangan, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Mazenah Baharuddin yang juga dikenali sebagai Kak Maz.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah parti yang kini telah menghadapi krisis keyakinan rakyat, bukan sahaja terpalit dengan pelbagai isu seperti skandal 1MDB, tetapi juga terlibat dalam isu rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton.
Justeru katanya, memberi undi kepada parti-parti ini hanya akan memberi kesan buruk kepada sosio-ekonomi, politik dan masa depan rakyat.
“Kedua-dua mereka pada saya mempunyai ‘baggage’ yang bukan kecil. BN dikenali sebagai kleptokrat, manakala PN – ‘scheme of things’ dan khianat.
“Kedua-dua telah mencetuskan ketidakstabilan politik sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri, mengakibatkan terbentuknya kerajaan dan anggota pentadbiran yang lemah dan gagal menguruskan keperluan rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Penting pilih Ketua Menteri dan Exco berjiwa rakyat
Sementara itu Maznah yang juga Ketua AWAN Masjid Tanah berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah sangat signifikan bagi memastikan rakyat mempunyai kuasa memilih kerajaan yang lebih telus, berintegriti dan mengutamakan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Ini sekaligus katanya, dapat menghantar mesej jelas bahawa rakyat menolak politik katak, politik tidak berprinsip, politik adu domba, politik kebencian dan politik rasuah serta salah guna kuasa.
“Penting bagi memastikan kita dapat menaikkan seorang Ketua Menteri dan pasukan Exco yang berjiwa rakyat, berfikir dan bekerja untuk rakyat tanpa birokrasi dan intimidasi politik kepartian,” ujarnya lagi.