Kakak sulung hempas pulas lunaskan rumah ayah, adik lelaki pula sibuk tuntut faraid

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita bergelar kakak sulung merasa sangat terkilan apabila adik-beradiknya sendiri tidak menghargai langsung pengorbanan yang dilakukan demi keselesaan ibu bapa.

Lebih memburukkan keadaan, adik lelaki kepada wanita berkenaan turut menuntut hak ke atas kediaman arwah bapa mereka walaupun tidak pernah menghulurkan wang selama ini.

Difahamkan, pembelian kediaman tersebut sebenarnya ditanggung sepenuhnya oleh kakak sulung itu dengan menggunakan pinjaman peribadi dilakukannya demi memenuhi permintaan sang bapa.

Malah wanita berkenaan turut mengeluarkan belanja dari sebahagian besar daripada gajinya untuk membeli semua kelengkapan yang berada di dalam kediaman dinamakan atas nama arwah bapanya itu.

“Aku merupakan anak sulung perempuan yang berusia 32 tahun. (Pembelian) Rumah arwah ayah ini guna duit aku. Ketika itu baru mula bekerja, ayah meminta untuk buat pinjaman peribadi atas nama aku.

“Wang pinjaman itu digunakan untuk membina rumah. Malah barang di dalam rumah ini juga 100 peratus guna duit gaji aku. Beli sedikit demi sedikit. Tetapi apabila aku persoal kenapa nak faraid rumah itu.

“Adik lelaki cakap aku tak faham agama. Anak lelaki yang tak pernah jaga mak pun kelam kabut tentang hal (faraid rumah) ini. Tolong,” mohon wanita berkenaan menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di platform X.

Berjaya mencuri perhatian ramai, perkongsian menerusi platform X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter itu dimuat naik tanpa mendedahkan identiti sebenar wanita berkenaan.

Mengulas lanjut, wanita itu memaklumkan pemilikan rumah berkenaan tidak sempat ditukar memandangkan bapanya meninggal dunia secara mengejut akibat strok atau angin ahmar.

“Tak sempat tukar nama rumah itu sebab arwah meninggal akibat strok. Ada orang cakap boleh lantik peguam. Aku memang ada resit dan bukti semasa pembinaan rumah itu.

“Cuma nak tahu berapakah anggaran wang ringgit yang perlu disediakan kalau nak lantik peguam? Macam mana ya nak cari peguam untuk menguruskan kes ini?.” Pinta anak sulung itu.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar X tampil menyokong tindakan wanita itu mendapatkan khidmat peguam kerana seluruh kos pembinaan dan keperluan rumah berkenaan dikeluarkan olehnya seorang.

Baca juga: Jodoh tak panjang, penerbit eksekutif stesen TV3 sahkan sudah bercerai dengan Mas Idayu