AC Mizal pernah kena ‘ragging’, kaki dikikis pisau panas – “Puting kawan hilang diketip”

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi pengalaman ketika masih berada di bangku persekolahan melibatkan kejadian ‘ragging’.

Selebriti berusia 53 tahun itu mengakui ragging atau sesi orentasi kasar ini sudah menjadi ‘tradisi’ ketika belajar di sebuah pusat pengajian ketenteraan meskipun perbuatan tersebut mendatangkan kecederaan kepada fizikal.

Malah pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu juga pernah mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat tekan tubi berterusan selain kakinya turut dikikis dengan pisau panas yang mana parutnya kekal sehingga ke hari ini.

Perkara itu didedahkan oleh AC Mizal menerusi satu sesi audio siar, Dols Podcast dikendalikan oleh pelawak iaitu Mamat Sepah dan Shuib yang mana sedutan rakaman program tersebut turut dikongsikan di platform TikTok.

“Saya pernah jalan itik sejauh lima kilometer (km). Selepas itu, kaki tak boleh bangun. Dahulu tangan saya pun habis (cedera) sebab kena tekan tubi di atas jalan raya. Kaki saya pernah dicuba (dikikis) dengan pisau panas.

“Pelaku nak tengok, pisau itu tajam ke tidak. Dia kikis sedikit, ada kesan sampai sekarang. Tidur berdiri. Perkara ini normal. Puting kawan saya satu tiada, kena ketip. Cuma nak kata teruknya waktu itu, senior pun kena (ragging).

“Tetapi sekarang tak tahu, ada lagi (budaya ragging) atau tidak,” dedah pengacara terbabit dalam sedutan rakaman berdurasi satu minit enam saat dikongsikan di platform TikTok tersebut.

@dolspodcast

DAC masuk maktab tentera, kenangan kena ragging. Memang kena keras dekat dalam tu.Layan Episod 86, RABU 9 MALAM di Youtube Shuib Channel & spotify Dol’s Podcast. NAK BELAJAR BUAT SIDE INCOME ? BOLEH FOLLOW @Fokiyoks #DolsPodcast @shuibsepahtu @Mamatsepah_Nana @Fizie Roslan

♬ original sound – Dol’s Podcast – Dol’s Podcast

Menurut AC Mizal, dirinya dihantar untuk menyambung pelajaran Tingkatan Satu di institusi ketenteraan tersebut oleh bapanya tanpa diberikan sebarang makluman terlebih dahulu.

Pengacara terbabit bagaimanapun bersyukur kerana ilmu yang ditimba di pusat pengajian berkenaan telah berjaya membentuk dirinya menjadi manusia kuat semangat dan mampu bertahan hidup tanpa mengira keadaan.

“Arwah bapa saya waktu itu jadi Ketua Polis di Muar. Dia cuma cakap, ‘Mizal siap barang. Kita pergi Kuala Lumpur’. Saya pun ikut sahajalah. Sampai sana, saya tengok keliling dan duduk. Dia terus cakap, ‘okey, kau duduk sini ya’.

“Katanya, belajar dekat sini dan dia terus pulang. Sebulan juga saya menangis dalam kelambu. Waktu itu memang saya marah kepada arwah ayah. Tetapi sekarang ini, letak sahaja di mana pun, saya boleh hidup.

“Letak dekat hutan boleh hidup, di bandar juga boleh. Sebab di situlah kita punya tempat. Mungkin sebab saya baik dengan kawan-kawan. Mereka adalah adik-beradik saya. Itu yang saya sangat sensitif kalau kawan buat.” Akuinya

Baca juga: Wanita tergamam dapat tahu dirinya anak angkat selepas 3 tahun berkahwin