“Kali ini, saya betul-betul sayang”, Vida kesal pernah ‘tunggang’ populariti The Red Warriors

Oleh KIM SYAZIE

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida tidak menyangkal dakwaan bahawa dirinya pernah menumpang populariti The Red Warriors (TRW) suatu ketika dahulu.

Namun, ‘strategi perniagaan’ itu sudah lama berakhir ketika Datuk Seri Vida berhenti menjadi penaja kelab bola sepak itu pada tahun 2017 lalu.

Enam tahun sudah berlalu, pemilik nama penuh Datuk Seri Hasmiza Othman itu kini mengaku sudah jatuh sayang kepada pasukan Kelantan FC.

Bertegas mahu membeli kelab tersebut, Datuk Seri Vida telah mengadakan pertemuan dengan pemiliknya iaitu Norizam Tukiman sebanyak dua kali.

Memerlukan sedikit masa lagi untuk mencapai kata persetujuan, pertemuan berkenaan diadakan bagi membuat rundingan mengenai pembelian kelab.

“Kali ini, saya buat betul-betul kerana rasa sayang kepada pasukan dan bukan atas kepentingan atau strategi perniagaan saya semata-mata. 

“Ketika syarikat saya menjadi penaja utama Kelantan dahulu, memang kami menunggang populariti TRW.

“Tetapi kali ini saya sudah mempunyai satu pasukan daripada kalangan profesional untuk menguruskan Kelantan FC dan tidak lagi berseorangan seperti dahulu,” katanya memetik Kosmo!.

Pengakuan itu dibuat Vida malam tadi selepas menghadiri perlawanan Liga Super antara The Red Warrior dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Untuk rekod, Datuk Seri Vida pernah menjadi penasihat dan penaja TRW untuk dua musim dari 2016 hingga 2017 dengan nilai tajaan hampir RM20 juta.

Terdahulu, Norizam Tukiman mendedahkan bahawa ada seorang lagi usahawan dari Kelantan yang berniat mahu mengambil alih kelabnya.

Individu yang dikenali sebagai Erfan Akif itu mengakui telah memeterai satu perjanjian kerahsiaan (NDA) bersama Norizam.

Lebih menarik, Datuk Vida, Norizam dan juga Erfan Akif dilihat sama-sama menghadiri perlawanan antara Kelantan FC dan JDT, semalam.

Baca juga: Sanggup berlapar demi cari rezeki, sayu lihat warga emas mesin rumput dalam hujan