Sayu hati seorang wanita apabila melihat seorang warga emas yang masih bekerja keras untuk mencari rezeki meskipun sudah lanjut usia.
Demi sesuap nasi, lelaki tua itu gigih membanting tulang untuk mengambil upah memesin rumput di halaman rumah wanita berkenaan.
Mahu menyelesaikan amanah yang diberi, lelaki tersebut enggan berhenti walaupun hujan lebat membasahi bumi dan juga tubuh uzurnya.
Puas memujuk untuk berteduh sebentar sementara hujan berhenti, namun ditolak kerana pekerjaan itu katanya perlu disiapkan dengan cepat.
Setelah guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung barulah lelaki berpangkat pak cik itu berhenti dan berteduh di rumah wanita itu.
Sambil menunggu hujan reda, wanita prihatin yang dikenali sebagai Mas itu segera menghidangkan secawan kopi panas dan nasi goreng.
Rupanya sedang menahan kelaparan, Mas hiba melihat warga emas berkenaan begitu berselera menghabiskan santapan yang disediakan.
“Pak cik ini kelmarin datang rumah potong rumput. Tengah duduk memotong, tiba-tiba mesin rosak. Dia terpaksa pulang, datang hari ini untuk habiskan tugas.
“Tiba-tiba kilat mula sabung-menyabung dan guruh berdentum. Pak cik itu berhenti juga potong rumput. Kami sempat bagi dia pekena nasi goreng dan kopi panas.
Pak cik tu siap cakap ‘Allah, macam tahu-tahu je tengah lapar, terima kasih banyak’. Alhamdulillah licin pak cik makan,” kongsi wanita itu di laman TikToknya.
Difahamkan, sebelum kehadiran pak cik tua berkenaan, ada orang lain yang lebih muda mengambil upah untuk memotong rumput di rumah itu.
Namun setelah sekian lama orang muda tersebut tidak muncul, warga emas itu secara sukarela menawarkan dirinya untuk mengambil alih tugas lelaki tersebut.
“Dimanakah pak cik ini mendapat kudrat pada usia sebegini. Gigi pun sudah tiada,” ujar Mas yang sempet berseloroh.
Baca juga: Sewa kereta ambil keputusan STPM anak, petani ini sanggup pinjam RM120 dari jiran