“Kami tidak lebih dari rakan sekerja” – Fattah Amin nafi bakal nikahi Amira pada 25.5.25

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Fattah Amin sekali lagi menafikan dakwaan akan mendirikan rumah tangga bersama penyanyi yang sering digosipkan dengannya akhir-akhir ini iaitu Amira Othman pada minggu hadapan.

Menurut pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin itu, tiada tarikh perkahwinan yang ditetapkan oleh dirinya mahupun Amira pada 25 Mei ini seperti diperkatakan oleh peminat.

Dakwaan sedemikian mungkin timbul disebabkan tarikh tersebut dilihat cantik untuk mendirikan rumah tangga selain harapan peminat yang mahukan mereka berdua melangkah ke peringkat seterusnya.

Fattah bagaimanapun menjelaskan bahawa setakat ini, hubungannya dengan penyanyi berusia 32 tahun terbabit tidak lebih daripada rakan sekerja dan tiada perkara yang akan berlaku pada tarikh itu, lapor Berita Harian.

“Saya perasan juga, ada yang kata 25.5.2025 adalah tarikh kami nikah. Tiada, saya menafikannya. Tiada apapun akan berlaku pada tarikh ini. Mungkin peminat suka melihat artis kesayangan mereka meneruskan ke peringkat seterusnya.

Tetapi buat masa sekarang, kami tidak lebih dari rakan sekerja,” kata pelakon drama bersiri popular Keluarga Itu memetik laporan Berita Harian berhubung desas-desus mendakwanya bakal menamatkan zaman duda.

Fattah ketika mengulas tentang pertemuannya bersama keluarga Amira di Singapura baru-baru ini memaklumkan bahawa semuanya berlaku secara kebetulan berikutan mereka menghadiri acara yang sama.

Difahamkan penganjur acara tersebut pernah memanggil Fattah sebelum ini namun berhasrat mahu menjemput Amira pula menjadi tetamu untuk hadir bersama pelakon berkenaan.

“Acara ini juga adalah ‘motivational talk’, jadi Amira setuju. Secara kebetulan, keluarga saya juga nak ikut. Saya dapat tahu, keluarga Amira nak datang pada saat akhir. Keluarga Amira tinggal di Johor Bahru, jadi tidak jauh.

“Itu yang secara kebetulan kami berjumpa. Keluarga Amira sangat baik dan merendah diri. Kalau tengok adiknya, Irfan Harris sangat sopan santun. Namun, karakternya suka menyakat. Dia suka kacau Amira.

“Jadi klien suka. Kami okay sahaja sebab ia sekadar gurauan. Kami okay selagi boleh menggembirakan peminat dan tak lebih-lebih,” jelas pelakon berusia 35 tahun itu.

Dalam pada itu, Fattah juga turut menyifatkan pemilihan pemakaian berwarna sedondon yang sering dilakukan mereka berdua ketika tampil dalam acara bersama adalah kebetulan sahaja.

Fattah dan Amira juga memiliki kontrak bersama dengan beberapa jenama yang mana mereka merancang untuk memakai busana yang berona sedondon atas keperluan pekerjaan.

“Kita sebenarnya ada kontrak bersama beberapa jenama. Selain itu, ada sekali saya dan Amira berlakon teater sebagai suami dan isteri, jadi kami rancang pakai sedondon. 

“Saya dan Amira buat atas dasar kerja dan pakai disebabkan watak. Ia juga cantik untuk visual.” Ujar Fattah yang pernah juga digosipkan bakal menikahi Amira selepas bulan Syawal lalu.

Baca juga: Mengaku baru kahwin dekat jiran, pasangan ditangkap khalwat, kantoi wanita berstatus isteri orang