Pihak polis berjaya menumpaskan ‘perniagaan’ menjual bahan lucah melibatkan kanak-kanak perempuan bawah umur secara atas talian menerusi aplikasi Whatsapp baru-baru ini.
Namun perkara yang paling mengejutkan adalah dalang di sebalik kegiatan tidak bermoral berkenaan bukanlah orang dewasa sebaliknya kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam persidangan Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), lapor Berita Harian.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit mencipta laman web untuk mengedar bahan lucah bersama empat rakannya sebelum berjaya ditumpaskan pihak polis pada tahun ini dengan kerjasama rentas kementerian.
“Pada tahun 2025 kita bongkar, menumpaskan pula geng budak sekolah. Tentunya dengan kerjasama kementerian berkaitan. Umur (pelaku) baru 12 tahun. Yang buat laman sesawang ini budak perempuan berumur 12 tahun.
“Berpakat dengan kawan-kawannya empat orang. Group (kumpulan) WhatsApp ada ramai (ahli) 762 orang. Masing-masing ambil gambar, bahagian tubuh masing-masing kemudiannya jual.
“Dia berhenti sekolah sebab jumlah pendapatannya untuk sebulan jauh lebih tinggi, lebih besar daripada pendapatan ibu bapanya. Jadi buat apa dia nak (pergi) sekolah lagi,” dedahnya memetik laporan Berita Harian.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit tentang penyeragaman dan penyelarasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kementerian lain untuk membendung jenayah swinger dalam talian.
Dalam pada itu, Saifuddin juga mengakui timbulnya isu ketika mengendalikan kanak-kanak yang terbabit jenayah kerana tertakluk dengan pelbagai undang-undang termasuk tidak boleh dibawa ke mahkamah terbuka.
“Jadi bagaimana kita ambil tindakan? Undang-undang kita pelbagai. Kalau kita nak ambil tindakan terhadap mereka ini, SUHAKAM akan kata mereka ini baru kanak-kanak. Satu bab lain, apa akan jadi pada masa depan mereka?
“Bagaimana tindakan kita boleh ambil? Jadi dalam melaksanakan penguatkuasaan apabila kita jumpa kes macam ini, jelas sekali kita tetap kena dapatkan pandangan dari pelbagai agensi lain. Itu cara modus operandi.” Jelasnya.
Baca juga: ‘Mohon kerja panggil ‘bro’, ada yang siap demand gaji RM20k’ – Iqbal Zulkefli