Usahawan pencuci mulut sensasi, Kieda Crepe kembali mencuri perhatian ramai setelah membuat satu perkongsian di platform media sosial miliknya.
Menerusi hantaran di TikTok @kiedacrepepenang yang kini telah dipadam, wanita itu mengaku telah membuang seramai lima orang pekerjanya selepas ‘ditikam belakang’.
Dakwa Kieda, keputusan itu dibuat setelah lima pekerja terbabit didapati terlibat dengan penubuhan satu ‘group’ atau kumpulan Whatsapp tanpa pengetahuannya.
Isi kandungan group tersebut dikatakan dipenuhi dengan kutukan bertubi-tubi dan pelbagai gelaran diberikan pekerja kepada pemilik nama sebenar Nur Khalieda Yusra itu.
Beberapa ahli di dalam group tersebut juga berpakat untuk berhenti secara serentak dari kedai Kieda Crepe sebaik sahaja mereka berjaya mendapatkan kerja baharu.
“Semalam kantoi ada group chat di belakang Kieda. Mereka mengata, kutuk bertubi-tubi terhadap Kieda. Hari ini insya-Allah, Tuhan tidak memudahkan urusan Kieda.
“Tetapi Allah mudahkan urusan 12 orang pekerja Kieda. Tak payah berhenti serentak. Saya sendiri yang minta anda hantar surat peletakan jawatan dalam masa 24 jam.
“InsyaAllah hari ini hari Jumaat, semoga Allah memberkati segala urusan Kieda. Amin, Ya Rabbal Alamin. Terima kasih 12 orang yang saya selalu lebihkan. Bawa berjalan, makan tak pernah kurang,” katanya.
Walau bagaimanapun, daripada 12 pekerja yang berada di dalam group Whatsapp tersebut, hanya lima dibuang kerja manakala selebihnya diberikan surat amaran.
Ahli perniagaan yang bertapak di Pulau Pinang itu juga mahu mengadakan perbincangan dengan pihak pejabat buruh tidak lama lagi berhubung tindakan selanjutnya.
“Kita dengar kedua-dua pihak, saya tidak tuduh orang melulu. Saya pun tahu sakit macam mana sekarang mahu mencari kerja. Macam mana bergelut bila ada komitmen.
“Jadi daripada 12 orang, lima orang sahaja saya kena bincang dengan pejabat buruh macam mana. Yang lain masih bekerja dengan saya, mereka diberi surat amaran,” ulas Kieda dalam hantaran lain.
Perkara tersebut dikatakan terbongkar apabila Kieda merasa gelisah seakan diberi petunjuk selepas selesai menunaikan solat Maghrib dan berdoa kepada Allah.
Kieda kemudian meminjam telefon bimbit salah seorang pekerjanya untuk melihat kamera hadapan bagi membetulkan tudung selepas mencabut telekung miliknya.
“Buka sahaja kamera depan, baru nak bubuh pin tudung keluar pemberitahuan (notification) pesanan dari group ‘Jangan Delete’. Dalam itu depa tulis pasal Kieda Crepe.
“Depa kutuk saya, semua depa kata. Menggigil tangan saya, sedihlah saya.” Jelasnya.
Kieda yang mempunyai seramai 37 orang pekerja itu bagaimanapun tidak menyalahkan sesiapa dan menjadikan insiden ini sebagai pengajaran bagi muhasabah diri.
Baca juga: Ramai terkejut tonton babak Janna Nick tendang Sheila Mambo