Hanya sebulan dalam setahun. kita sebagai umat Islam disuruh berpuasa namun masih ada yang ponteng hanya untuk mengambil benda haram.
Menerusi Ops Ramadan di Kuala Nerang semalam oleh penguat kuasa, ada individu yang kantoi tidak berpuasa lari lintang pukang selepas disergah.
Mereka ini dikatakan melepak di sebuah pondok rehat berhampiran satu chalet terbengkalai di kawasan itu lapor Sinar Harian.
Menurut Pegawai Agama Daerah Padang Terap, Ahmad Muzzamil Yub, mereka lari bertempiaran ketika melihat sebuah van putih menghampiri pondok itu.
Mereka bertindak sedemikian kerana bimbang diserbu pihak berkuasa dalam sebuah operasi yang dijalankan Pejabat Agama Daerah Padang Terap.
Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa botol air ketum dan rokok telah ditinggalkan oleh kumpulan kaki ponteng puasa terbabit.
“Ketika pemantauan dilakukan lapan anggota diketuai Ketua Unit Penguat kuasa, Zafri Zainul Abidin, kita turut mengesan rokok masih berasap dipercayai dibuang individu tersebut.
“Kita melakukan pemantauan di banyak tempat sekitar Padang Terap selain pondok rehat itu dan mendapati lebih kurang 13 individu yang bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, amaran telah diberikan terhadap individu terlibat kerana perbuatan tersebut dapat mencemarkan imej Islam.
Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 terhadap individu yang makan atau minum di khalayak pada bulan Ramadan.
Individu yang didapati tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok dan benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum ataupun dihisap dalam waktu berpuasa boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (a) enakmen sama.
Jelas Ahmad Muzammil, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali bagi dua kesalahan itu.
Beliau berharap penganut agama Islam, khususnya di daerah Padang Terap dapat membantu pihak berkuasa dalam menjalankan tugas.
Segala tingkah laku mencurigakan boleh dimaklumkan melalui imam kariah atau Pejabat Agama untuk tindakan lanjut
Baca juga: Selepas dua tahun Sajat buat pengakuan masih lagi beragama Islam