Kapal dinaiki peserta Sumud Flotilla termasuk Greta Thunberg diserang dron, terbakar

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah kapal yang membawa peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk aktivis terkenal asal Sweden iaitu Greta Thunberg diserang dron sehingga mengakibatkan kebakaran ketika berlabuh di Tunisia.

Perkara itu dimaklumkan oleh penyanyi, Zizi Kirana yang turut serta dalam misi kemanusiaan berkenaan menerusi perkongsian video di akaun TikTok miliknya dipercayai memaparkan situasi selepas serangan tersebut berlaku.

Menerusi video itu, salah seorang peserta memberitahu bahawa serangan tersebut hanya melibatkan kapal ‘Family’ yang mana ia menjejaskan bahagian hadapan pengangkutan berkenaan.

“Kapal Family baru sahaja diserang di bahagian hadapan kapal. Sudah sekitar sepuluh atau lima belas saat selepas kejadian itu berlaku. Tetapi masih terdapat dron atau benda lain yang terbang di kawasan ini.

“Saya tidak dapat pastikan apa itu. Namun semua orang perlu berhati-hati. Setiap bot perlu berjaga-jaga sekiranya ada serangan,” kata peserta itu menerusi video berdurasi 33 saat yang dikongsikan oleh Zizi di platform TikTok.

Selain Greta Thunberg, kapal itu turut dinaiki oleh aktivis terkenal Jerman, Yasemin Acar yang juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu GSF dan aktivis popular daripada Brazil iaitu Thiago Avila.

Berita itu turut dikongsikan oleh rakan seperjuangan Zizi iaitu pendakwah selebriti, PU Rahmat Ikhsan di platform Instagram yang memaklumkan serangan tersebut tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Terdahulu, kumpulan misi kemanusiaan GSF ke Gaza yang memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol selamat tiba di pelabuhan Tunisia semalam selepas lapan hari berlayar. 

Kapal dari Barcelona kemudian akan bergabung dengan kumpulan yang ditempatkan di Catania, Itali dan Tunisia di pelabuhan berkenaan sebelum meneruskan misi ke destinasi akhir iaitu Gaza.

Misi kemanusiaan yang menyaksikan lebih 1,000 aktivis dari 44 negara itu mempertaruhkan nyawa mereka untuk merentasi Laut Mediterranean bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza dikenakan oleh rejim Israel.

Kumpulan yang belayar melibatkan lebih 50 kapal flotila itu membawa bantuan kemanusiaan termasuklah ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang disekat sejak peperangan pada 7 Oktober 2023 lalu.

Baca juga: Kenapa orang kata teknologi PRIME penting masa bencana? Ini 10 QnA nak mudah faham