Siapa sangka, ulasan bersahaja yang dibuat pelawak dan penyampai radio terkenal iaitu Johan Raja Lawak membuatkan seorang peniaga tidak menang tangan menerima tempahan karipap pusing jualannya.
Malah peniaga yang menjalankan operasinya di sekitar Ukay Perdana, Ampang Jaya, Selangor itu juga perlu menutup kedainya selama berhari-hari untuk menyiapkan pesanan.
Pengalaman itu diceritakan oleh peniaga yang dikenali sebagai Shidah Ghaliman itu menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads bersama rakaman ulasan ataupun ‘review’ yang dibuat oleh Johan.
“Teringat gara-gara Johan cakap karipap pusing kami ini ‘biasa-biasa sahaja’, sampai kena tutup kedai berhari-hari,” katanya dengan ringkas dalam hantaran tersebut.
Berdasarkan video dikongsikan oleh peniaga terbabit, Johan dilihat memegang karipap pusing dan secara seloroh mengatakan kuih berkenan rasa ‘biasa-biasa sahaja’ dengan harapan stok tidak cepat habis.
Difahamkan Johan atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz itu tidak dibayar membuat ulasan sebaliknya datang sendiri membeli ratusan biji karipap pusing goreng dan sejuk beku jualan peniaga terbabit.
“Rasa macam biasa-biasa sahajalah. Saya harap orang jangan belilah. Apabila orang beli, takut stok untuk saya tiada. Itu yang saya tak suka ambil-ambil video macam ini. Nanti orang lain tahu.
“Apabila orang lain tahu, saya tak kisah. Asal jangan stok untuk saya tiada. Itu sahaja. Sebab benda gemuk (inti) macam ini penuh tersusun rapi. Ini kambing. Ayam dan telur ada juga,” katanya dalam video tersebut.
Baca juga: “Mak bekalkan ikan busuk…” – kisah jamuan raya ini buat ramai sebak di penghujungnya