Dewan Rakyat bukannya Dewan Sandiwara dan amat mengecewakan apabila sidang Parlimen yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia tidak lain hanya setakat sesi taklimat semata-mata.
Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivalumar berkata persidangan yang berlangsung hanyalah sekadar perbincangan yang tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak apabila beberapa Ahli Parlimen diberi ruang untuk memberi pandangan mereka, tetapi tidak diusulkan untuk pengundian.
“Proses pengundian adalah perlu bagi memutuskan penyelesaian sesuatu masalah di Dewan Rakyat. Manakala suara majoriti penting bagi memuktamadkan sesuatu keputusan. Jika tidak persidangan yang diadakan merugikan masa, tenaga dan dana serta itu bukannya fungsi sebenar Parlimen.
“Tidak dapat dinafikan persidangan sedemikian bukanlah yang diharapkan oleh rakyat. Sebaliknya kerajaan PN telah menipu rakyat dengan sandiwara politik dengan memperalatkan Dewan yang mulia tanpa perbahasan dan usul pengundian.
“Terbukti kerajaan cuba mengelak daripada proses pengundian diadakan setelah mereka menyedari semua pelan pemulihan yang dilaksanakan oleh kerajaan PN gagal termasuklah Darurat yang telah diisytiharkan sejak Januari yang lalu,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Tambahnya, apakah perlu Ahli-Ahli Parlimen terus mendengar Pelan Pemulihan Negara yang gagal setelah kerajaan hilang kredibiliti dan rakyat tidak lagi yakin dengan pelan-pelan kerajaan yang merugikan rakyat dan negara.
Jelas Sivakumar lagi, kerajaan PN gagal mengawal keadaan setelah membelanjakan lebih dari RM350 bilion dengan jumlah kematian dan kes Covid-19 meningkat secara mendadak.
Katanya, kini kerajaan PN sekali lagi cuba mempersendakan Dewan yang mulia dalam usaha mengaburi mata rakyat dengan mengadakan persidangan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi berparlimen.
Mereka cuba menggunakan ‘pintu belakang’ Parlimen untuk terus berkuasa dan rakyat harus sedar permainan PN dengan menolak mereka secara total