Kedai kampung lingkup lepas tular, netizen dedah ada peniaga sebenarnya tak ‘hamak’ viral

Oleh MALAYSIADATELINE

Ada pempengaruh yang berniat baik mempromosikan kedai di media sosial, namun kadangkala mereka melakukannya tanpa memaklumkan pemilik terlebih dahulu.

Akibatnya, kedai tersebut tiba-tiba diserbu pelanggan kerana ‘hype’ di media sosial, sedangkan mutu makanan mula merosot demi mengejar kuantiti.

Fenomena ini boleh membebankan dan berisiko memusnahkan perniagaan kecil akibat permintaan melampau serta kekurangan staf.

Menerusi aplikasi Threads, seorang pengguna, shell_crab berkongsi kisah seorang peniaga yang terpaksa bekerja keras selepas kedainya diserbu orang ramai lepas tular di media sosial.

“Tolong jangan normalize buat perkongsian atau reviu kedai kedai kampung yang sudah lama bertapak.

“Kebanyakan mereka tak hamak (peduli) viral pun. Kesian aku tengok pak cik seorang ni duduk tebar roti canai tetiba orang ramai. Tak tentu arah dia,” konsinya di Threads.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata menjelaskan hal sama berlaku di kawasan mereka.

“Ya, ada sebuah kedai di daerah saya yang tular di media sosial. Berduyun-duyun orang pergi, kemudian masing-masing marah kerana makanan lambat siap.

“Kedai itu terpaksa tutup selama dua bulan untuk menghentikan orang daripada menyerbu.

“Baru-baru ini, saya pergi ke situ dan mendapati kedai tersebut sudah tutup terus. Kesian, peniaga kampung yang cari makan akhirnya berakhir dengan kedai lingkup,” kongsi Ilmar.

Salah seorang kepada anak peniaga, Hazilah Huzaimi berkongsi bukan mereka cuba menolak rezeki, tapi kekangan tenaga kerja boleh menyebabkan banyak perkara jadi tak terkawal.

“Aku sebagai anak kepada mak ayah yang ada kedai makan nasi lauk pauk, terpaksa setuju dengan kenyataan ini.

Bukan nak tolak rezeki, tapi kami pun tak cukup tenaga kerja, jadi tak boleh nak catch up kalau kedai tiba-tiba viral dan pelanggan datang berduyun-duyun.

“Kami lebih suka suasana kedai yang tenang dengan pelanggan sedia ada. Bila melibatkan kuasa viral ni, kadang-kadang keadaan jadi tak terkawal,” kongsinya di ruangan komen.

Baca juga: Harga kereta 30k, anak kecewa ayah diam-diam buat ‘loan’ 35k sebab nak ambil 5k