Kehadiran bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dalam kempen Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) amat besar signifikannya.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, kesudian Tun Mohd Khalil untuk bersama dengannya dan calon PH, Julasapiyah Kassim, menyantuni nelayan di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi petang ini amat menyentuh perasaan.
“Junjung hormat saya kepada mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, di atas kesudian Tun untuk hadir bersama kami dari Parti Amanah Negara dan Pakatan Harapan.
“Bagi saya secara peribadi, kehadiran tokoh yang amat dihormati oleh rakyat Melaka ini, merupakan suatu yang positif kepada Pakatan Harapan,” kata Mohamad sebentar tadi.
Sehubungan itu, beliau berharap PRN Melaka yang melibatkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 November ini akan dimenangi PH.
“Kita doakan Pakatan Harapan akan memenangi PRN Melaka dan Sdr Adly kembali menjadi Ketua Menteri. Insya Allah,” ujarnya lagi.
