Perkongsian dimuat naik seorang individu mengenai jumlah kekayaan yang dimiliki oleh Tokoh Perbankan Negara, Tan Sri Azman Hashim telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform Threads itu, individu dikenali sebagai Fayyadhana meluahkan rasa kagum dengan kekayaan dimiliki Tan Sri Azman yang juga merupakan bapa kepada penyanyi, Mizz Nina.
Hal ini kerana berdasarkan laporan media antarabangsa iaitu Forbes, jumlah kekayaan Tan Sri Azman kini sudah dianggarkan mencecah $1.2 billion dolar Amerika Syarikat (AS) bersamaan dengan sekitar RM4.7 billion.
Jumlah kekayaan itu sekali gus meletakkan Azman yang juga merupakan Penasihat Kehormat Kumpulan Ambank tersebut di kedudukan ke-3135 dalam senarai Bilionair Dunia Forbes setakat ini.
“Kata betul ayah Mizz Nina. RM4.7 billion nilai kekayaan bersih. Itu kalau keluarkan RM1 juta sebulan, 400 tahun baru habis. Tetapi tak hairanlah sebab mereka meraih pendapatan itu secara sah dan diisytiharkan.
“Kamu semua jangan fikir beliau lahir terus jadi bilionair ya. Kerjayanya juga bukan biasa-biasa. Jadi akauntan sebelum berusia 21 tahun. Sebab itulah pentingnya pendidikan. Belajar rajin-rajin,” katanya dalam hantaran itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum kerana ahli keluarga Tan Sri Azman termasuklah Mizz Nina masih kekal merendah diri meskipun dilimpahi kekayaan.
Ramai juga pengguna Threads mengakui bahawa keluarga yang ‘benar-benar’ jarang sekali menunjukkan kemewahan dimiliki mereka untuk tontonan umum seperti di media sosial dan sebagainya.
“Arwah ibu saya pernah menjadi pembantu peribadi beliau. Bukan hanya kaya tetapi sangat merendah diri dan pemurah. Mizz Nina pernah siap bawakan ibu saya pergi berubat. Masa ibu saya mula-mula sakit. Dapat cuti bergaji selama setahun. Mereka siap tanya kalau ibu nak sambung kerja atau tak,” kongsi seorang pengguna.
“Keluarga Mizz Nina ini macam sudah ‘old money’. Memang tiada nak menunjuk harta. Tenang-tenang sahaja. Kamu semua yang kagum melebih dengan yang menunjuk ‘sports car’, rumah banglo, ada pengawal peribadi serta orang gaji untuk setiap anak, wang berkepuk dan sebagainya.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Nenek tinggal RM206 lepas langgar kereta, pemuda pulangkan semula selepas tahu kisah sebenar