Kelemahan aplikasi MyJPJ telah diatasi sebelum pelancaran

Oleh MALAYSIADATELINE

Kelemahan keselamatan yang dikesan dalam aplikasi MyJPJ telah berjaya diatasi sebelum dilancarkan Jumaat lepas, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata CyberSecurity Malaysia (CSM) telah mengenal pasti kelemahan tersebut semasa proses pembangunan aplikasi itu.

“Pihak CSM telah melakukan saringan dan siasatan terhadap aplikasi MyJPJ, kita telah kenal pasti satu kelemahan yang tidak terlalu besar dan ia (kelemahan itu) telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan.

“Saya tiada maklumat terperinci, tetapi sebelum digunakan secara meluas ia telah dikesan. Saya sendiri berhubung dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan perkara itu telah diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab kegusaran yang disuarakan pengguna mengenai keselamatan data peribadi dan aplikasi MyJPJ.

Pada Jumaat, Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan masing-masing yang berkuat kuasa serta-merta, sebaliknya hanya perlu menunjukkan dokumen tersebut melalui aplikasi berkenaan yang dibangunkan secara dalaman.

Baca Artikel Penuh