“Kematian ayah disambut ‘meriah’, keluarga akhirnya dapat beraya dengan tenang”

Oleh WAN SITI AMINAH

Suasana pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia menjadi suram dengan sikap dingin seorang insan bergelar ayah.

Harusnya menjadi saat paling dinantikan seisi keluarga, anak menantu malah berat hati untuk pulang ke kampung ekoran sang bapa yang sering marah tidak bertempat.

Bayangkan, bapa berkenaan tergamak mengeluarkan kata makian dan memberikan gelaran ‘monyet’ kepada anaknya hanya kerana gagal pulang beraya pada 1 Syawal.

Merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, berikut perkongsian lelaki yang dikenali sebagai Azam mengenai suasana Hari Raya Aidilfitri di rumah mentuanya.

“Assalamualaikum semua. Aku kongsikan satu pengakuan. Setiap hari raya, perkara nombor satu yang dibincangkan oleh pasangan suami isteri mestilah nak balik rumah siapa. Raya rumah isteri atau di kediaman suami. Aku juga sama. Tetapi kami suami isteri akan lebih cenderung balik kampung aku, setiap tahun.

“Isteri pun mesti akan tolak kalau aku cakap tak apa balik kampung dia. Kalau boleh, nak pulang ke kampung aku. Apa punca dia? Ya, dialah iaitu ayah mentua atau ayah kandung isteri. Keluarganya ada enam adik-beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan. Isteri aku anak yang ketiga.

“Tahu tak setiap kali balik, bukan setakat kami berdua tetapi abang dan adik ipar pun semua memang paling payah nak balik kampung belah isteri aku. Ayah mentua pula senang cerita jenis mulut cakap lantang, lepas dan tidak bertapis. Mesti nanti adalah komen cakap, ‘biasa orang tua mulut memang macam itu’.

“Kalau setakat lepas biasa tidak mengapalah, ini cara cakap memang tahap kurang ajar. Aku ingat lagi waktu akak ipar dengan suami dia balik. Mereka hari raya kedua baru sampai. Boleh dengan selamba ayah mentua maki mereka depan tetamu. Kau bayangkan tengah duduk, semua orang ada masa itu.

“Mulanya, kakak ipar dengan suami nak salam. Semua orang dalam rumah gembira sebab saudara-mara baru sampai. Tetapi tiba-tiba ayah mentua datang dan maki mereka, ‘raya kedua barulah dua monyet ini nak sampai, jangan harap aku maafkan’. Tiba-tiba sahaja dia cakap macam itu.

“Padahal orang lain semua tenang sahaja. Mak mentua pun elok sambut sebabnya mereka sudah cakap yang raya kedua baru dapat balik. Selepas itu waktu pagi raya masa tengah sibuk masak, adik ipar aku terpecahkan gelas. Mak mentua siap gurau, ‘betul dugaan puasa akhir’ sebelum ketawa.

“Ayah mentua tiba-tiba angin dan tengking, ‘ha pecahkan gelas, pecahkanlah cawan dengan pinggan sekali’. Selepas itu, dia pergi tolak senduk untuk kacau kuah kacang. Habis terbalik kuali. Aku dalam hati gila betul. Sudahlah kuah kacang itu mak mentua dengan aku yang goreng kering. Buang kulit berejam, sekali dia telangkupkan begitu.

“Mak mentua suruh istighfar pun dimarahnya. Sepanjang raya dekat sana memang aku, isteri, adik dan abang ipar semua pasang muka tertekan. Setiap kali hari raya ketika kami mahu pulang, mesti mak mentua yang datang dekat anak menantu cucu minta maaf sebab ayah perangai macam itu.

“Ketika kejadian kuah kacang pun aku ingat lagi. Mak mentua datang duduk depan aku dengan isteri minta maaf. Katanya nanti tahun depan ajak aku buat kuah kacang lagi. Sejujurnya cakap, walaupun ramai dalam keluarga itu memang tak gemar balik kampung tetapi kami akan gagahkan sebab mak mentua.

“Mak mentua memang baik, cakap lemah lembut setiap kali dia memujuk. Terpaksa meminta maaf disebabkan perangai ayah mentua. Isteri aku juga banyak kali cakap dia minta maaf sebab perangai ayahnya. Pada tahun 2022, ayah mentua meninggal dunia. Tahun lalu semua ipar duai, cucu balik awal untuk puasa dan raya di sana.

“Sejujurnya bagi aku, kali ini adalah Aidilfitri yang paling tenang sejak bertahun kami beraya di situ. Ketawa dan senyum tanpa sebarang tekanan. Memasak juga dengan tenang. Hari raya kedua barulah balik beraya ke kampung aku. Berbual juga dengan ipar aku. Masa itu ada juga seorang dua terlepas cakap.

“Mereka kata raya kali ini aman, tenang dan seronok. Padahal selama ini, kalau balik memang sah semua mengeluh mengenai ayah mentua aku. Kadang-kadang terfikir, ada rasa simpati juga pada ayah mentua aku. Iyalah, orang senang ria selepas dia meninggal dunia.

“Bayangkan, bukan setakat aku dan juga ipar duai sahaja. Malah saudara mara juga merasa aman untuk datang beraya di kediaman ini selepas pemergian ayah mentua.” Kongsi Azam (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di laman luahan atas talian.

Baca juga: Takut tertidur masa memandu? Ini cara untuk cegah ‘microsleep’