Kenapa kerajaan tidak bantah PRN Melaka dari awal? – DAP

Oleh KIM SYAZIE

Kalau benar Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bimbang akan penularan Covid-19 yang lebih buruk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pihak kerajaan sepatutnya dari awal membantah pilihan raya ini diadakan sejak awal lagi.

Masyarakat sedia maklum bahawa PRN Melaka ini boleh diibarat sebagai ‘bom jangka’ seperti yang berlaku dalam PRN Sabah pada September 2020 yang akhirnya menyebabkan penularan Covid-19 lebih besar di seluruh negara.

Namun persoalannya, ketika pihak pembangkang membantah dengan bersungguh-sungguh PRN Melaka ini diadakan pada awal kejatuhan kerajaan negeri Melaka disebabkan pergolakan parti kerajaan sendiri, mengapa tiada suara bantahan daripada Khairy ketika itu?

Tambahan pula, larangan berkempen dan melakukan sebarang aktiviti perhimpunan berkaitan pilihan raya ini dibuat selepas Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berkempen untuk parti Barisan Nasional (BN).

Pimpinan pembangkang dalam satu kenyataan menyatakan, larangan berkempen yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan ini adalah langkah tidak demokratik.

“Adakah Kerajaan takut berdepan dengan para pengundi di Melaka?” Soal Veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berpendapat Kerajaan takut berhadapan dengan para pengundi di negeri ini kerana mereka juga yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka serta gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19 serta kemelesetan ekonomi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga berpendapat yang sama, namun menurutnya Kerajaan tidak bolehlah melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sungguhpun takut berhadapan dengan para pengundi di sini.

Suatu hal yang aneh apabila SPR mengumumkan PRN Melaka akan berjalan, namun Kerajaan melarang sebarang himpunan diadakan untuk berkempen dan ini jelas bercanggah dengan proses pilihan raya.

Jika proses pilihan raya tidak dapat berjalan seperti biasa, mengapa benarkan pilihan raya ini diadakan terlebih dahulu?