Kerajaan belanja RM4 juta untuk ubahsuai pejabat menteri dan timbalan

Oleh BORHAN AHMAD

Kerajaan telah membelanjakan RM4.004 juta untuk membaiki  dan mengubah suai pejabat menteri dan timbalan di 14 buah kementerian yang terlibat dengan penyelenggaraan berkala ini.

Pejabat Menteri dan Timbalan Menteri di Kementerian Perpaduan Negara sahaja telah membelanjakan labih setengah juta untuk membaiki pejabat mereka.

Kementerian itu membelanjakan RM589,618 untuk membaiki pejabat menteri dan timbalan menteri mereka sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Menteri Perpaduan Negara sekarang adalah Halimah Mohamed Sadique manakala timbalannya adalah Ter Lian Ker dari MCA.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Dr Abdul Latif Ahmad, perbelanjaan itu adalah mempastikan semua fasaliti dan kemudahan di pejabat-pejabat tersebut akan sentiasa terpelihara dan berada dalam keadaan baik.

Selain Kementerian Perpaduan, Jabatan Perdana Menteri membelanjakan RM1.07 juta untuk kerja-kerja ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM425,130), Kementerian Perusahaan Perdagangan dan Komoditi (RM398,604), Wilayah Persekutuan (RM392,202), Sains Teknologi dan Inovasi (RM365,240).

Dr Abdul Latif menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Telok Intan) di Dewan Rakyat hari ini.