Kerajaan Madani salur RM2.1 juta baik pulih pondok daif di Kelantan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pondok Islam di Kelantan kekal sebagai salah satu institusi pendidikan tradisional yang menjadi tunjang perkembangan ilmu agama di negeri itu.

Namun, sebahagian besar pondok berdepan cabaran dari segi kemudahan asas dan prasarana yang uzur.

Binaan kayu lama, asrama sempit, kekurangan peralatan pembelajaran moden, serta sumber kewangan terhad sering menjadi realiti yang dihadapi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan lebih RM2.1 juta bagi kerja baik pulih segera beberapa pondok daif di Kelantan.

Perkara itu diumumkan ketika beliau menghadiri majlis di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan, Bachok, malam tadi, atas undangan Tuan Guru Sheikh Wazir Al-Makki.

Dalam ucapannya, Anwar mengimbau sejarah perjuangan Islam ketika penjajahan, di mana pondok dan pesantren menjadi benteng mempertahankan akidah, ilmu dan ruh perjuangan umat walaupun seluruh sistem politik, ekonomi dan pendidikan dirombak penjajah.

“Benteng ilmu ini makin luntur kerana kekangan perkembangan dan perhatian kerajaan yang lebih tertumpu kepada sekolah arus perdana.

“Justeru, usaha baik pulih ini adalah sebahagian daripada gagasan MADANI yang menekankan pembangunan bangsa berasaskan keyakinan dan akhlak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

Beliau turut menegaskan semua pelajar Islam kini akan didedahkan kepada pengajian al-Quran dan Matan Arbain Hadis 40 Imam Nawawi di semua sekolah, bukan hanya di sekolah agama atau pondok.

Kerja baik pulih pondok dijangka dimulakan dalam beberapa minggu akan datang.

Anwar juga yakin dengan bimbingan guru-guru dan teguran membina, usaha ini mampu memperkukuh pendidikan Islam demi kemaslahatan umat dan kemuliaan negara.

Baca juga