Kerajaan masih belum jawab isu jemaah umrah palsukan sijil vaksin

Oleh ARIF ATAN

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Asim Abdullah mendesak kerajaan menjelaskan bagaimana pintu keluar masuk negara boleh dibolosi golongan yang memalsukan sijil vaksin.

Menurutnya, siasatan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap insiden membabitkan rombongan jemaah umrah itu dilihat masih dibisukan oleh menteri, Khairy Jamaluddin sejak minggu lalu.

“Dah masuk seminggu siasatan dibuat namun masih tiada jawapan dari pihak KKM berkenaan dengan bagaimana jemaah umrah tersebut boleh lepas melalui pintu keluar masuk negara.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab dengan kelemahan yang berlaku bukan hanya mendiamkan diri seperti yang berlaku hari ini.

“Kita mendesak kerajaan memberikan respon segera serta membentangkan hasil siasatan untuk setakat ini berkenaan dengan kelemahan yang berlaku di pintu masuk negara sehingga ia membawa ancaman baharu kepada negara ketika ini,” katanya ketika dihubungi.

Pada 6 Januari lalu, KKM mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari, didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.

Khairy berkata, pihaknya sedang menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi sama ada mereka memiliki masalah kesihatan atau sebab lain.

Sementara itu, tular di media sosial Instagram seorang Ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq tampil membuat pengakuan secara terbuka.

Dia memberitahu bahawa dirinya adalah individu yang membawa jemaah yang tidak divaksinasi itu ke Tanah Suci dan mengaku dirinya tidak divaksinasi.