Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin adalah wajar untuk mententeramkan individu yang belum divaksin bukannya hanya marah-marah.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus mengingatkan bahawa kerajaan belum membuat keputusan untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 seperti yang dimaklumkan pada Julai lalu.
Menurutnya, tindakan membiarkan kumpulan antivaksin merasa didiskriminasikan hanya akan membuat suasana “panas dan tegang” dalam masayarakat.
“Kita masih perlukan sebuah kerajaan yang bijak mengurus negara ketika konflik melanda, bukan sekadar marah-marah dengan penuh emosi.
“Walau apa pun proses vaksinasi tetap perlu diteruskan demi kepentingan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Khairy mengingatkan mereka yang tidak mengambil vaksin akan berdepan kehidupan yang sukar kerana tidak akan dibenarkan menikmati kemudahan kelonggaran seperti individu lengkap vaksin.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kerajaan mungkin tidak akan melaksanakan satu undang-undang persekutuan iaitu mewajibkan di peringkat negara tetapi dia menggalakkan adalah undang-undang sektoral.
“Mungkin berbunyi sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin.
“Ini adalah kerana mereka sendiri memilih untuk tidak menerima vaksin melainkan mereka tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan dan dikecualikan juga dalam sistem MySejahtera tetapi jika sebaliknya, maka memang kami akan susahkan hidup anda,” kata Khairy.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, selaku salah seorang pembuat dasar di Parlimen, dalam perbahasan RMK-12, beliau telah mendesak kerajaan melalui pelbagai kementerian terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tampil ke hadapan meningkatkan kempen kesedaran pengambilan vaksin kepada orang ramai.
“Kerajaan juga wajar mententeramkan mereka yang belum divaksin, sama ada mereka yang enggan atau tidak layak divaksin agar diurus dengan bijak dan diperlakukan secara profesional,” katanya.
Kelonggaran SOP dan pembukaan sektor tertentu di seluruh negara dilaksanakan susulan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.