Kerap ‘post’ gambar tanpa solekan, model terkenal era 90-an naik angin netizen bandingkan dengan kecantikan artis lain

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon dan model terkenal tahun 90-an, Zahnita Wilson pernah menjadi fenomena apabila kecantikan semula jadinya diminati ramai sehingga banyak kali dipilih menghiasi muka hadapan majalah-majalah terkenal.

Namun dia kini mendakwa kehilangan ramai pengikutnya selepas berkongsi wajah asli tanpa solekan yang jelas terlihat kesan-kesan penuaan.

Tidak terhenti di situ, Zahnita menjadi sasaran serangan ‘keyboard warriors’ yang membandingkan kecantikan model itu dengan selebriti lain.

Menerusi hantaran di Instagram, Zahnita tampil menyelar seorang netizen yang mendakwa dia menghidapi masalah kesihatan mental.

“Saya rasa awak ada masalah mental. Tak boleh ke awak jadi lagi cantik macam Sarimah Ibrahim atau Marion Caunter?,” komen netizen.

Tidak berdiam diri, Zahnita menyarankan agar Individu itu tidak menonton videonya jika tidak suka.

“Kalau awak tak suka konten mengarut saya, boleh berambus… adeh nak buat skincare tak jadi! Dah lama tak merepek kan?

“Ruangan ini hanya satu sudut pandangan, bukan pandangan saya. Ia pandangan awak terhadap saya. Ya, memang ia berbeza dan berlainan daripada apa yang awak lihat selama ini.

“Konten saya menunjukkan realiti yang sebenar dan di dalam dunia yang penuh dengan pembulian siber ini, saya rasa terpanggil untuk berkongsi tentang isu ini. Selamat malam,” balasnya.

“Mungkin betul saya ada masalah mental, terutama dengan orang macam awak,” tambahnya lagi.

Berdasarkan pemerhatian, Zahnita menjadi sasaran netizen berikutan sering memuat naik hantaran tanpa sebarang solekan dan berani menunjukkan sisi dirinya yang lain di media sosial.

Sekadar info, Zahnita merupakan seorang model terkenal dan pernah menjadi kegilaan ramai pada zaman 90-an kerana memiliki tubuh badan yang tinggi, langsing dan wajah cantik semula jadinya.

Malah wajahnya juga sering kali menghiasi muka depan majalah-majalah terkenal dan antara heroin yang menarik perhatian peminat terutama lelaki.

Baca juga: Last’ keluar lagu 4 tahun lepas, Netizen berjaya rakam keadaan terkini Ronnie Hussein lepas lama menghilang