Kerja baiki peti ais mampu jana pendapatan lima angka sebulan

Oleh KIM SYAZIE

Ramai menganggap kerja membaiki peti ais tidak menjanjikan masa depan cerah, namun anggapan itu meleset sama sekali.

Ahmad Fazril Hazim Ahmad Faizol, 29, kini selesa meraih pendapatan mencecah lima angka sebulan hasil kepakarannya dalam bidang tersebut.

Bermula dengan kerja membaiki peti ais di rumah pelanggan akhirnya membawa anak muda itu untuk membuka pejabat dan bengkel sendiri di Seri Manjung, Perak, sekali gus membuktikan bidang kemahiran mampu memberi pulangan lumayan.

Berkongsi kisahnya memetik Harian Metro, Ahmad Fazril Hazim atau lebih dikenali sebagai Abang Peti Ais berkata, dia sebenarnya tiada kemahiran membaiki peti ais pada awalnya namun mengambil inisiatif mempelajarinya pada 2018 selepas melihat ia berpotensi untuk menjana pendapatan.

Berbekalkan Sijil Elektrik Kemahiran Kolej daripada Kolej Komuniti Chenderoh, Perak, dia menuntut ilmu dengan seorang pemilik bengkel membaiki peti ais dan berjaya menguasai kemahiran itu dalam tempoh seminggu sahaja.

“Bapa saya pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan buat kerja baiki kapal selepas tamat perkhidmatan jadi sejak Tingkatan Tiga hingga Lima, saya selalu ikut dia.

“Daripada situ, saya belajar mengenai peralatan dan kerja kemahiran. Sewaktu di kolej, saya banyak diajar mengenai kaedah penyelenggaraan penghawa dingin.

“Tapi selepas tamat latihan industri, saya nampak potensi dalam kerja baik pulih peti ais dan mesin basuh sebab waktu itu orang yang pandai baiki tak ramai. Jadi saya cuba cari tempat belajar iaitu di sini dengan dikenakan bayaran RM1,500 dengan sebahagiannya dibantu ayah,” katanya baru-baru ini.

Baca juga: “Saya tak kisah orang cakap pasal saya” – Fattah Amin terkilan fitnah jejaskan keluarga, anak