Kerja pun tak ada, ada hati kahwin lain

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila mengetahui suaminya berkahwin lain sedangkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kerap bertukar kerja.

Menurut luahannya yang diterbitkan portal media tempatan, sepanjang tempoh perkahwinan, dialah yang banyak membantu menyara keluarga, namun tindakan suaminya itu membuatkan dirinya berasa murung dan tertekan.

“Suami saya tiada kerja tetap dan kerap tukar kerja. Baru-baru ini saya dapat tahu suami berkahwin lain. Saya kecewa kerana dia curang terhadap saya, selama ini saya yang membantunya. Bila memikirkan hal ini saya mulai murung,” luahnya.

Menjawab persoalan berkenaan, laman portal itu menegaskan bahawa keadaan ekonomi yang tidak menentu bukan alasan untuk seorang suami mengabaikan nafkah rumah tangga.

“Apabila berumahtangga, persefahaman perlu ada sejak awal lagi. Suami yang acuh tak acuh soal kerja dan tidak bersungguh-sungguh amat menyedihkan kerana ia memberi tekanan kepada isteri, terutama apabila melibatkan kewangan dan poligami,” jelas jawapan itu.

Antara nasihat yang diberikan ialah supaya wanita terbabit mengurangkan pemberian wang kepada suami dan hanya membantu jika perlu, sebagai usaha mewujudkan rasa tanggungjawab dalam diri suami.

Selain itu, isteri disarankan menegaskan kepada pasangan agar mencari pekerjaan tetap sebagai bukti kesungguhan untuk berubah.

Berhubung isu poligami, jawapan itu menekankan bahawa walaupun ia dibenarkan dalam Islam, suami tidak boleh mengabaikan isteri sedia ada kerana perasaan isteri yang terluka juga harus diambil kira.

“Pun begitu, bangkit dan belajar menerima. Ambil masa untuk melihat sama ada suami mampu bertanggungjawab atau sebaliknya. Jika emosi tidak terkawal, luahkan perasaan dan minta pandangan daripada seseorang yang boleh membantu,” tambahnya.

Baca juga: ‘Abah kerja keras siang malam untuk awak dan adik-adik…’