Kes belum selesai, Chegubard diperintah bela diri kes fitnah Agong

Oleh MALAYSIADATELINE

Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dalam kes fitnah jenayah yang dikaitkan dengan kenyataan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk meneruskan prosiding ke peringkat pembelaan lapor Kosmo! Online.

Ini sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin dalam penghakimannya memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Keputusan berkenaan adalah berdasarkan keterangan dan hujahan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

“Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat keterangan yang boleh dipercayai bahawa kenyataan yang dibuat oleh responden (Chegubard) adalah tidak benar dan tergolong di bawah fitnah.

“Oleh yang demikian, pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap responden dan demikian, responden dipanggil untuk bela dirinya atas pertuduhan tersebut,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Susulan keputusan tersebut, kes berkenaan akan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk prosiding pembelaan, dengan sebutan semula ditetapkan pada 25 Jun bagi penetapan tarikh perbicaraan.

Terdahulu, pada 4 November tahun lalu, Chegubard yang juga bekas Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen selepas pihak mahkamah ketika itu memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam kes itu, pihak pendakwaan memanggil empat saksi termasuk seorang pegawai dari Istana Negara, dua pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pegawai penyiasat.

Berdasarkan pertuduhan, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dengan niat mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong pada 22 Januari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Baca juga: Benarkah Kerajaan Pusat hanya “pulangkan beberapa bilion” kepada negeri lepas kutip hasil berpuluh bilion?