Kes Covid-19 terus melambung kepada 19,090

Oleh ARIF ATAN

Sebanyak 19,090 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini sekali gus menunjukkan trend kenaikan berbanding 17,134 kes semalam.

Angka terbaharu itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,975,422 individu di negara ini sudah dijangkiti virus tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada rekod hari ini terdapat 99.41 peratus atau 18,977 kes adalah dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Sementara itu, terdapat 113 kes iaitu 0.59 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5.

Dalam masa sama, 68 pesakit Covid-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 79 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Data harian laman Covidnow juga memaklumkan sebanyak 5,681 kes sembuh menjadikan jumlah sembuh sebanyak 2,829,752 kes.

Terdapat sembilan kes kematian dilaporkan termasuk empat kes kematian di luar hospital (BID).